Kerajaan tanggung subsidi minyak masak dengan peruntukan RM4 bilion tahun ini - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan tanggung subsidi minyak masak dengan peruntukan RM4 bilion tahun ini - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika penjelasan isu subsidi minyak masak. Turut kelihatan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kanan). - Gambar PMO
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak dengan jumlah sebanyak RM4 bilion pada tahun 2022, berbanding RM500 juta pada 2020 dan RM2.2 bilion pada 2021.

 

Ismail Sabri berkata, minyak masak yang disubsidi oleh kerajaan ialah sebanyak 60,000 tan metrik sebulan, melebihi daripada keperluan sebenar pengguna iaitu sebanyak 55,000 tan metrik sebulan.

 

Beliau berkata, subsidi yang ditanggung oleh kerajaan ini adalah untuk kategori minyak masak kampit RM2.50 bagi 1 kilogram (kg) sahaja, berbanding harga pasaran sebenar, RM9 bagi 1 kg untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40. Subsidi ini telah bermula sejak Jun 2007.

 

"Sewaktu pandemik COVID-19, kerajaan telah memperkenalkan program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol bagi 1 kg, 2 kg, 3 kg dan 5 kg, pada Ogos 2021. Usaha ini bagi membantu Keluarga Malaysia yang ketika itu terkesan akibat pandemik COVID-19. 

 

"Program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol ini hanyalah untuk tempoh tiga bulan sahaja dengan kos RM55 juta sebulan," katanya ketika penjelasan isu subsidi minyak masak dan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 2 hari ini.

 

Menurut Ismail Sabri, bagaimanapun, kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan. 

 

Sehubungan dengan itu katanya, kerajaan membuat keputusan mulai 1 Julai 2022 untuk tidak lagi menyambung subsidi untuk minyak masak berbotol kerana objektif awal program itu adalah untuk membantu golongan terkesan pandemik.

 

 

pm

 

 

"Untuk itu, subsidi minyak masak kampit sahaja yang akan diteruskan dan kerajaan yakin subsidi sebanyak 60,000 tan metrik sebulan adalah mencukupi untuk kegunaan Keluarga Malaysia," katanya. - DagangNews.com