Kerajaan teliti usaha wujudkan NADMA di peringkat negeri, daerah | DagangNews Skip to main content

Kerajaan teliti usaha wujudkan NADMA di peringkat negeri, daerah

KUALA LUMPUR 20 Jan - Kerajaan sedang meneliti untuk mewujudkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di peringkat negeri dan daerah selain mengkaji semula struktur agensi berkenaan sebagai peneraju pengurusan bencana negara.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad tindakan itu adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 22 Disember lepas yang mahu agar struktur NADMA diteliti semula.

 

"Perkara ini sedang dalam tindakan NADMA bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

 

"Antara perkara yang diteliti adalah pewujudan NADMA di peringkat negeri dan daerah," katanya ketika membentangkan mengenai pengurusan bencana banjir penghujung tahun 2021 dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini lapor Bernama.

 

Abd. Latiff berkata, NADMA turut mengambil inisiatif untuk memperkasakan pengurusan pengurangan risiko bencana (DRR) melalui penggubalan Dasar DRR termasuk penambahbaikan kefahaman tentang risiko bencana.

 

"Meningkatkan pelaburan dalam inisiatif pengurangan risiko bencana daripada aspek kapasiti sumber manusia, pemerkasaan institusi, perluasan langkah mitigasi, aplikasi teknologi dan memperhebatkan langkah kesiapsiagaan nasional.

 

"Selain itu, NADMA juga dalam proses menggubal Rang Undang-Undang Pengurusan Bencana yang bersifat omnibus antara lain meliputi aspek tadbir urus, penguatkuasaan, kesiapsiagaan, DRR, tindak balas, pemulihan dan pembangunan semula," katanya.

 

Beliau juga berkata NADMA akan memperkasakan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) agar seiring perkembangan teknologi semasa.

 

"Antara perkara yang akan diberi fokus adalah memastikan data-data bencana daripada pelbagai agensi adalah terseragam, terkini dan mempunyai ciri-ciri peramalan kesan serta penderiaan permintaan bagi membantu di dalam membuat keputusan," katanya. - DagangNews.com