Kerajaan terbit Sukuk Prihatin bernilai RM500j | DagangNews Skip to main content

Kerajaan terbit Sukuk Prihatin bernilai RM500j

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Kerajaan telah menerbitkan sukuk Prihatin yang bernilai RM500 juta bagi membantu proses pemulihan ekonomi negara selepas penularan jangkitan COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terbitan sukuk yang sebahagian daripada inisitif 6R itu menawarkan peluang langganan kepada orang awam dan syarikat korporat. 

“Usaha ini merupakan suatu bentuk penyatuan sumber yang mencerminkan solidariti rakyat Malaysia dalam membina semula ekonomi negara.

“Saya amat terharu apabila dimaklumkan bahawa kerajaan telah menerima banyak tawaran yang jujur dan ikhlas daripada rakyat yang ingin membantu kerajaan dalam menyokong langkah-langkah pemulihan ekonomi,"kata beliau ketika majlis pelancaran Sukuk Prihatin di Putrajaya. 

Pelancaran tersebut disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut berkenan untuk menjadi pelabur terawal.

Turut hadir, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Sukuk Prihatin boleh dilangggan serendah RM500 tanpa had dengan kadar keuntungan 2% setahun dengan tempoh pemegangan dua tahun. 

Sukuk Prihatin boleh dilanggan bermula 17 September depan menerusi perkhidmatan perbankan digital JomPAY dan DuitNow. 

Keuntungan akan dibayar setiap suku tahunan dan dikecuali daripada cukai. 

Perolehan langganan terbitan sukuk berkenaan akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang COVID-19 dan program-program pembiayaan lain. 

Ini termasuklah sambungan rangkaian Internet lebih baik di kawasan pedalaman serta sokongan buat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas terutamanya usahawan wanita.

Selain itu, dana terbitan sukuk berkenaan juga bakal diperuntukkan bagi perbelanjaan kesihatan termasuk kajian dan penyelidikan berhubung penyakit berjangkit. - DagangNews.com