Kerajaan terus beri keutamaan kepada agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan terus beri keutamaan kepada agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera akan terus diberikan keutamaan oleh kerajaan merangkumi penyediaan pakej rangsangan serta pelan pemulihan bagi mengekalkan daya saing mereka dalam norma baharu.

 

Beliau berkata, tindakan itu adalah bagi membolehkan usahawan Bumiputera menempa kejayaan sekaligus membantu memulihkan ekonomi negara.

 

Pembentangan Bajet 2022 bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” baru-baru ini telah memperuntukkan sebanyak RM11.4 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan Bumiputera.

 

"Daripada jumlah ini, sebanyak RM4.8 bilion dikhususkan untuk pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan yang akan disalurkan melalui Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), TEKUN Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera.

 

"Saya percaya melalui peruntukan yang diterima, PUNB akan mengukuhkan lagi strategi pembangunan perniagaan Bumiputera agar dapat melahirkan usahawan berdaya tahan dan progresif sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya ketika menyampaikan ucapan menerusi rakaman video di Majlis Ikon Inspirasi Impian anjuran PUNB, lapor Bernama.

 

Perdana Menteri turut memuji PUNB kerana bersama dengan kerajaan dalam memperkasa dan membantu ketahanan para usahawan serta perniagaan Bumiputera semasa pandemik ini menerusi pemberian moratorium pembiayaan dan pengecualian sewaan premis perniagaan secara berperingkat dari April 2020 sehingga Disember tahun ini.

 

"Sebagai usahawan, langkah ke hadapan adalah untuk anda menggunakan teknologi terkini dalam perniagaan untuk meningkatkan produktiviti, memberi jaminan dari segi kestabilan, kelestarian dan daya tahan sesebuah perniagaan selain peluang pasaran tanpa sempadan," katanya.

 

Sebagai contoh, beliau berkata syarikat Bumiputera Bateriku (M) Sdn. Bhd. yang juga usahawan PUNB telah beralih daripada perniagaan secara konvensional ke platform digital sepenuhnya melalui pembangunan aplikasi mudah alih Bateriku.Com, seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan melalui ekonomi gig kepada anak tempatan di seluruh negara.

 

"Ini bukti bahawa persekitaran perniagaan yang mencabar masa kini turut memerlukan usahawan untuk menjadi lebih kreatif dan berinonvasi dalam penghasilan produk dan perkhidmatan.

 

"Dua elemen ini penting untuk mengekalkan jenama perniagaan dalam pasaran, selain meningkatkan hasil jualan dan kepercayaan pelanggan," kata Perdana Menteri.

 

Ismail Sabri menambah, usahawan Bumiputera boleh mengikut jejak penggiat bidang makanan dan minuman yang sentiasa memenuhi kehendak semasa pelanggan.

 

"Contohnya, kuih tradisional melayu iaitu ondeh-ondeh atau buah melaka telah menjadi bermacam jenis pencuci mulut seperti aiskrim dan juga sebagai perisa dalam minuman.

 

"Strategi ini amat bijak kerana pengusaha bukan sahaja menghasilkan produk baharu tetapi pada masa yang sama turut memartabatkan lagi kuih tradisi turun temurun yang menjadi kegemaran Keluarga Malaysia," katanya. - DagangNews.com