Kerajaan tubuh Pejabat Pelaburan Digital  | DagangNews Skip to main content

Kerajaan tubuh Pejabat Pelaburan Digital 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 April - Kerajaan telah membangunkan Pejabat Pelaburan Digital (DIO) telah disokong oleh Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara, dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

 

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), peranan DIO selari dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan Aspirasi Pelaburan Nasional, dipacu oleh inti pati Wawasan Kemakmuran Bersama  (SPV) 2030.

 

Ujar MIDA, DIO merupakan platform kerjasama dan sepenuhnya digital antara MIDA serta MDEC untuk menyelaraskan dan memudahkan semua pelaburan digital. 

 

Objektif usaha ini bukan sahaja untuk mewujudkan kesedaran mengenai pelaburan digital di dalam negara, tetapi mengukuhkan penyelarasan antara semua agensi promosi pelaburan (IPA) bagi menarik pelaburan baharu, jelas agensi itu.

 

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ekonomi digital merupakan penggerak kepada pertumbuhan masa depan Malaysia.

 

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

 

“Penubuhan DIO ini tepat pada masanya, sejajar dengan evolusi landskap pelaburan di rantau ini ke arah digitalisasi dan Industri 4.0, memandangkan ia akan mewujudkan nilai unik bagi pelaburan digital akan datang.

 

“Kami optimis bahawa pentadbiran yang berstruktur dalam mempromosi dan memudahkan pelaburan ini, ekosistem digital Malaysia akan terus diperkukuh dan maju untuk masa depan, memastikan negara kekal berdaya saing di jalan pemulihan selepas COVID-19,” katanya. 

 

Usaha kolaborasi antara MIDA dan MDEC itu akan memenuhi keperluan industri digital yang berkembang pesat dengan tujuan menunjangi pemimpin teknologi global, membina juara tempatan, dan memupuk bakat yang bersedia. 

 

Dalam jangka panjang, dengan peralihan landskap digital global, kerajaan mengharapkan DIO memainkan peranan penting untuk meletakkan Malaysia sebagai hab Ddgital pilihan dan menjadikan negara sebagai Nadi Digital ASEAN di rantau ekonomi Asia Tenggara. - DagangNews.com