Kerajaan tubuh Yayasan SDG Malaysia kawal selia Dana Amanah MySDG | DagangNews Skip to main content

Kerajaan tubuh Yayasan SDG Malaysia kawal selia Dana Amanah MySDG

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) mengiringi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika perasmian Yayasan MySDG di Kementerian Kewangan, Putrajaya hari ini. Foto - Bernama
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan - Kerajaan melalui Kementerian Kewangan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia menubuhkan Yayasan SDG Malaysia (Yayasan MySDG) bagi mengawal selia Dana Amanah Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (Dana Amanah MySDG) dengan komitmen peruntukan sebanyak RM20 juta untuk tempoh lima tahun akan datang.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dana itu diharap akan menjadi platform untuk menyelaras geran dengan lebih baik daripada pelbagai sumber.

 

Beliau yang juga Pengasas Bersama Yayasan MySDG berkata, yayasan tersebut akan ditadbir oleh sebuah Lembaga Pemegang Amanah yang terdiri daripada individu yang dihormati dalam kalangan sektor awam, penggiat industri, ketua masyarakat sivil (CSO) serta pakar dalam bidang tertentu.

 

"Ia juga akan merapatkan jurang pembiayaan melalui sumbangan daripada sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), CSO atau individu dari dalam dan luar negara. Ini akan dilaksanakan melalui kaedah yang lebih sistematik dan mampan, memastikan ketelusan saluran untuk menyumbang kepada SDG. 

 

"Secara keseluruhan, penderma akan dapat menyumbang dengan lebih yakin, mengetahui bahawa dana mereka akan diuruskan mengikut amalan terbaik antarabangsa, serta disokong oleh tadbir urus yang baik. Mereka juga akan diberi jaminan bahawa sumbangan mereka akan digunakan untuk membiayai program dan projek yang selaras dengan SDG," katanya ketika berucap pada perasmian Yayasan MySDG di Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini.

 

Terdahulu penubuhan Yayasan SDG Malaysia dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Tengku Zafrul berkata, pelbagai dana ditubuh dan diuruskan oleh pihak-pihak berkepentingan untuk mengatasi isu-isu meliputi pembasmian kemiskinan, kebajikan hidupan liar, serta konservasi alam sekitar dan biodiversiti.

 

"Namun, dana-dana tersebut seringkali berhadapan dengan isu kelangsungan, di mana terdapat kekangan dari segi kewangan bagi membolehkan perancangan dan pelaksanaan program serta projek dalam jangka masa panjang. 

 

"Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk memastikan pengurusan dana yang lebih berkoordinasi dan bersepadu bagi membiayai program dan projek di negara ini yang berkemungkinan berada di luar cakupan peruntukan tahunan kerajaan," katanya.

 

Beliau turut yakin dan percaya Yayasan MySDG akan ditadbir dengan penuh amanah, serta tanggungjawab fidusiari akan dilaksanakan dengan efektif ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030.

 

Dalam jangka masa terdekat, Yayasan MySDG akan menumpukan kepada pembiayaan program untuk membina semula secara terbaik susulan kesan pandemik COVID-19, serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti. 

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web yayasan di https://www.mof.gov.my/portal/ms/mysdg. - DagangNews.com