Kerangka Dasar Luar Negeri cerminan hasrat kerajaan agar pelaksanaannya sejajar dengan perkembangan global | DagangNews Skip to main content

Kerangka Dasar Luar Negeri cerminan hasrat kerajaan agar pelaksanaannya sejajar dengan perkembangan global

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis - Kerangka Dasar Luar Negeri yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mencerminkan hasrat kerajaan untuk memastikan pelaksanaannya diperkemaskan supaya ia sejajar perkembangan global yang timbul akibat COVID-19.

 

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, pihak mereka sudah menggubal satu kerangka yang bertajuk 'Focus In Continuity:  A Framework for Malaysia's Foreign Policy in a Post-Pandemic World' di mana wujudnya keperluan supaya pelaksanaan dasar luar negeri sedia ada di bawah pentadbiran Keluarga Malaysia diperkemaskan demi kepentingan umum.

 

Katanya, proses penggubalan itu melibatkan pelbagai agensi termasuk ahli-ahli Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negeri (CCFP), ahli-ahli Parlimen, ahli-ahli akademik, ahli perniagaan dan masyarakat umum.

 

Kerangka Dasar Luar Negeri itu bertemakan 'Tumpuan dalam Kesinambungan' (Focus in Continuity) mempunyai dua komponen utama iaitu cabaran semasa yang perlu diatasi segera terutama dalam konteks COVID-19 dan hala tuju hubungan antarabangsa Malaysia bagi jangka sederhana dan panjang.

 

"Kerangka ini bukanlah dasar luar negeri yang baharu kerana prinsip asas dasar-dasar sedia ada tidak berubah, sebaliknya lebih menjurus kepada penekanan baharu terhadap isu-isu tertentu lebih-lebih lagi melibatkan COVID-19.

 

"Lapan isu sudah dikenal pasti termasuk Menggiatkan Semula Hubungan Malaysia Di Dalam Ekonomi Global, Diplomasi Kesihatan, Ekonomi Digital, Keselamatan Siber, Diplomasi Kebudayaan, Falsafah Hidup Bersama Dalam Budaya Damai, Mendukung Prinsip Multilateralisme dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030," katanya. - DagangNews.com