Kerjasama dengan Cuckoo dijangka pacu hasil Lee Swee Kiat bagi FY22 | DagangNews Skip to main content

Kerjasama dengan Cuckoo dijangka pacu hasil Lee Swee Kiat bagi FY22

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Mei - Lee Swee Kiat Group Bhd. (LSK) dijangka merekodkan prestasi kewangan yang lebih pada suku akan datang terutamanya dipacu menerusi kerjasama dengan Cuckoo International (Malaysia) Sdn. Bhd. 

 

CGS-CIMB Research berkata, LSK sebelum ini bekerjasama untuk menjual barangan tempat tidur Cuckoo Napure yang bermula tahun lalu, tetapi jualannya terjejas akibat pandemik COVID-19. 

 

Namun, firma itu mendapati, jualannya kembali meningkat sejak sekatan pergerakan dilonggarkan, yang turut disokong aktiviti pemasaran yang agresif dan perubahan strategi (dengan bayaran bulanan yang lebih rendah dan lebih panjang selama 5 tahun berbanding 3 tahun sebelum ini). 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan, ia akan menjadi pemangkin jualan kepada kumpulan, memandangkan LSK merekodkan 2,000 jualan sebulan pada Mei. 

 

"Kumpulan secara dasarnya, menyasarkan untuk mencapai sasaran 20,000 jumlah jualan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

LSK ialah pengeluar peralatan tempat tidur lateks asli terbesar di negara ini dan Napure ialah jenama utamanya.

 

Pada Disember 2020, LSK menandatangani perjanjian kerjasama selama 3 tahun dengan Cuckoo, bagi mencipta dan melancarkan produk silang Cuckoo x Napure, juga dikenali sebagai tilam siri A, pada Mac 2021.

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022, LSK merekodkan hasil sebanyak RM30.6 juta, meningkat 16.4% daripada RM26.27 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) susut 0.6% tahun ke tahun kepada 19%, berikutan keuntungan jualan campuran yang berkurangan dan kos input yang lebih tinggi. 

 

Namun, keuntungan bersih pada suku berkenaan meningkat 20% kepada RM3.7 juta, sejajar dengan jangkaan CGS-CIMB pada 27% daripada anggaran setahun penuhnya.

 

Firma itu juga percaya, LSK akan mempamerkan hasil yang lebih baik pada suku berikutnya didorong permintaan kukuh para pelanggan tempatan dan eksport bagi produk tilam dan juga kenaikan harga bagi mengurangkan kos input yang lebih tinggi.

 

"Memandangkan kami menganggarkan kos buruh hanya merangkumi 5 hingga 8% daripada hasil LSK bagi FY21, kami berpendapat pelaksanaan gaji minimum (mulai 1 Mei) tidak memberi kesan ketara kepada pendapatan bersih kumpulan," katanya.

 

Secara keseluruhan, ia mengekalkan saranan 'tambah' terhadap LSK dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.63 sesaham.

 

Setakat 11.31 pagi ini, harga sahamnya menokok 10.5 sen atau 15.67% kepada 77.5 sen dengan 400,300 saham diniagakan. - DagangNews.com