Kerjasama Grab Malaysia, KPDNHEP dijangka manfaatkan 39,000 peniaga kecil | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Grab Malaysia, KPDNHEP dijangka manfaatkan 39,000 peniaga kecil

 

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Kempen Minggu Peniaga Kecil membabitkan kerjasama antara Grab Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dijangka memberi manfaat kepada 39,000 peniaga kecil di negara ini. 

 

Bermula 24 hingga 30 September ini, pengguna Grab boleh nikmati potongan sebanyak 30% untuk pesanan melebihi nilai RM20 dengan kod promosi PENIAGAKECIL.

 

Kerjasama antara kedua-dua pihak ini dilancarkan secara rasmi bagi membantu peniaga kecil dan pengendali bisnes makanan dan minuman (F&B) secara dalam talian.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha ini adalah selaras dengan matlamat kementerian untuk membantu golongan peniaga menangani cabaran masa kini. 

 

Katanya, dengan lebih 98.5% perniagaan di Malaysia terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pihaknya mengalu-alukan platform seperti Grab yang menyokong peniaga kecil dan sederhana menerusi teknologi dan pelbagai usaha seperti promosi Minggu Peniaga Kecil ini. 

 

"Kejayaan projek perintis Minggu Peniaga Kecil Grab sebelum ini sangat memberangsangkan kerana ia menjadi sumber tambahan untuk meningkatkan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Berdasarkan Laporan Tinjauan Industri Penghantaran Makanan 2021, Malaysia mencatat jumlah pengguna baharu ketiga tertinggi bagi perkhidmatan pesanan penghantaran makanan di Asia Tenggara. 

 

Antara faktor yang menjadi pemangkin kepada mereka ialah menikmati promosi eksklusif yang hanya terdapat menerusi penghantaran secara dalam talian.

 

Oleh itu, Grab menganjurkan program perintis Minggu Peniaga Kecil sebelum ini untuk membantu dan memacu penglibatan dalam kalangan peniaga kecil menerusi platform yang ditawarkan.

 

Sejak Mei hingga Ogos 2021, bilangan peniaga kecil yang menyertai program ini meningkat 5 kali ganda dengan pendapatan mereka meningkat 30% secara purata. 

 

Sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia, sebanyak 10,000 peniaga kecil juga telah menerima rebat khas 'Peniaga Kecil Relief' dengan setiap pesanan promosi yang mereka terima. 

 

Promosi ini juga telah menarik 70% pelanggan baharu untuk mencuba tawaran yang disaji oleh peniaga kecil terbabit sekali gus menjana lebih peluang pendapatan untuk rakan penghantar Grab.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh berharap model kejayaan bersama ini akan membina platform yang kondusif untuk semua perniagaan sama ada besar atau kecil supaya mereka dapat berkembang maju secara dalam talian.

 

"Menerusi Minggu Peniaga Kecil ini, kami mengambil langkah berterusan dengan memacu kesedaran dalam kalangan jenama F&B yang lebih kecil," katanya. - DagangNews.com