Kerjasama KAB, Janakuasa teroka projek tenaga di Vietnam | DagangNews Skip to main content

Kerjasama KAB, Janakuasa teroka projek tenaga di Vietnam

Gambar hiasan

 

 


KUALA LUMPUR 23 Jun - Kejuruteraan Asastera Bhd. menerusi anak syarikat, KAB Energy Power Sdn. Bhd. bekerjasama dengan Janakuasa Pte Ltd untuk meneroka pasaran tenaga diperbaharui di Vietnam. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata, pihaknya akan memperoleh kepentingan majoriti dalam tiga projek loji tenaga hidro menerusi syarikat tujuan khas yang dibentuk antara KAB Energy Power dan Janakuasa.

 

Projek-projek tersebut mempunyai perjanjian pembelian tenaga sedia ada dengan syarikat utiliti milik Vietnam Electricity, yang berakhir antara 2030 dan 2039, dan pemasangan kapasiti tenaga sebanyak 180 MW.

 

Malah, projek itu telah memulakan operasi komersial antara 2015 dan 2019.

 

Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, perjanjian itu mencerminkan komitmen KAB untuk memperluaskan segmen penyelesaian tenaga hijau termasuk memperkukuhkan kedudukan di rantau Asia.

 

"Kami berbangga diberi peluang ini untuk membentuk kerjasama dengan Janakuasa di samping membolehkan kami
memanfaat pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki mereka," katanya.

 

Beliau berkata, permintaan tenaga di Vietnam semakin meningkat sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan dan populasi, menjadikannya destinasi pelaburan menarik bagi pembangunan pelbagai aset tenaga diperbaharui di rantau Asia Tenggara.

 

Janakuasa ialah syarikat pemaju tenaga swasta yang berpangkalan di Malaysia dan ketika ini sedang membangunkan dua loji di Vietnam dan memiliki lebih 1,000 MW termal dan projek tenaga hijau sedang dalam pembinaan di negara ini.

 

Kerjasama itu secara tidak langsung membolehkan KAB dan Janakuasa mengembangkan portfolio mereka dalam tenaga diperbaharui di Vietnam. - DagangNews.com