Kerjasama MEDAC-KPWKM perkasa golongan wanita | DagangNews Skip to main content

Kerjasama MEDAC-KPWKM perkasa golongan wanita

Menteri Pembangunan Keusahawawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (dua dari kiri) dan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun (duduk) pada majlis menandatangani kerjasama strategik antara 2 kementerian, hari ini. 

 

 

 

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi memperkasa sosio-ekonomi golongan wanita, warga emas, B40 dan OKU melalui bidang keusahawanan.

 

Menurut MEDAC, inisiatif tersebut amat diperlukan kerana golongan ini paling terkesan akibat pandemik COVID-19 dan tidak mempunyai sumber pendapatan atau simpanan yang besar bagi meneruskan kelangsungan hidup.

 

"Kementerian kini dalam usaha memastikan platform francais dan koperasi digunakan secara optimum bagi membantu usahawan dari golongan sasar ini.

 

"Platform ini berupaya menyediakan pakej fasilitasi keusahawanan secara menyeluruh merangkumi aspek penjenamaan, pemasaran serta pembiayaan produk dan perkhidmatan usahawan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

MEDAC yakin koperasi dan francais berupaya menjadi platform yang efektif dan efisien dalam menyalurkan bantuan dan bimbingan kepada usahawan terlibat.

 

Kerjasama antara 2 kementerian ini bermula dengan penganjuran Sesi Dialog Keusahawanan Wanita pada September 2020 yang diketuai oleh Menteri Pembangunan Keusahawawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. 

 

Program itu bertujuan mendapatkan input dan maklum balas berkenaan isu dan cabaran yang dihadapi oleh
usahawan wanita. 

 

MEDAC berkata, susulan sesi dialog tersebut, MEDAC telah menubuhkan 2 jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Teknikal Keusahawanan Wanita serta Jawatankuasa Induk Keusahawanan Wanita.

 

Melalui kerjasama antara MEDAC dan KPWKM, pelbagai inisiatif telah dirangka bagi meningkatkan penyertaan wanita terutama mereka yang terlibat dalam sektor informal. 

 

Ia membabitkan 13 bidang kerjasama strategik meliputi aspek latihan dan bimbingan, pembiayaan, akses pasaran dan perkongsian data.  - DagangNews.com