Skip to main content

Kerjasama MIU-MPOB lahirkan penyelidik industri sawit global

 MIU-MPOB

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 April - Manipal International University (MIU) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bertujuan untuk melahirkan penyelidik yang menyumbang kepada kemajuan industri sawit yang mampan di Malaysia dan peringkat global.  

 

MIU merupakan sebuah universiti di Malaysia dan merupakan sebahagian daripada entiti di bawah Manipal Global Education Services (MaGE). 

 

MIU dan MOPB dalam satu kenyataan bersama memberitahu, tujuan utama MoU berkenaan adalah untuk membolehkan pelajar lepasan ijazah MIU dalam bidang Bioteknologi melaksanakan projek penyelidikan berkaitan sawit di MPOB.

 

"Melalui kerjasama itu, pelajar akan berpeluang  mendapatkan kepakaran dan kemudahan penyelidikan di MPOB untuk melaksanakan projek penyelidikan berkaitan sawit yang akan dipantau bersama oleh MPOB dan MIU.

 

"Dalam konteks berkenaan, MIU akan bekerjasama dengan MPOB untuk melaksanakan penyelidikan dalam bidang bioteknologi dan berkaitan sawit.

 

"Penerbitan yang akan dihasilkan melalui kerjasama adalah penting bagi kedua-dua pihak dan industri sawit," jelas MIU dan MOPB.

 

Dalam pada itu, MoU berkenaan akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, penyelidik MPOB akan diundang sebagai pensyarah jemputan untuk berkongsi kepakaran dalam bidang bioteknologi berkaitan sawit bersama dengan pelajar ijazah dan lepasan ijazah MIU. 

 

Ini akan meningkatkan minat pelajar untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai industri sawit dan mendedahkan mereka kepada perkembangan teknologi terkini yang dibangunkan oleh MPOB. 

 

MIU juga melancarkan program Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam penyelidikan bioteknologi. 

 

Program lepasan ijazah dalam bidang bioteknologi telah ditawarkan pada suku terakhir tahun 2020 dan merancang untuk mendaftarkan kumpulan pelajar lepasan ijazah pertamanya pada bulan April 2021. 

 

Usaha sama dengan MPOB memberi kepentingan bagi MIU kerana menyediakan peluang kepada pelajar sarjana dan lepasan ijazah dalam bidang bioteknologi terhadap institusi penyelidikan minyak sawit terkemuka di dunia sekali gus membantu para pelajarnya mengenai industri sawit mampan di Malaysia. - DagangNews.com