Kerjasama Pecca, MARii teroka pasaran alat ganti kenderaan elektrik | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Pecca, MARii teroka pasaran alat ganti kenderaan elektrik

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Nov - Pecca Group Berhad (Pecca) yang terkenal dengan pembuatan dan reka bentuk fabrik kenderaan menadatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii) bagi meneroka pasaran pembuatan alat ganti kenderaan elektrik (EV). 

 

MARii, sebuah agensi teknologi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan membantu Pecca menawarkan produk yang lebih kompetitif kepada jenama global termasuk peningkatan kecekapan operasi proses perniagaan dengan menyepadukan sistem Industri 4.0 bagi memenuhi keperluan pelanggan baharu.

 

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneroka pembuatan pelbagai jenis alat ganti kenderaan termasuk EV dan infrastruktur sokongan selepas jualan. 

 

“Kami berbangga untuk memulakan kerjasama ini dengan pemain industri utama seperti Pecca kerana ini merupakan satu lagi contoh perkongsian awam-swasta yang menarik.

 

"Kami percaya ia merupakan sumbangan penting ke arah kemajuan EV di Malaysia selaras dengan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) yang mahu mewujudkan pembekal komponen automotif yang kukuh selain menghasilkan komponen penting untuk menjadikan NAP 2020 sebagai realiti," kata Ketua Pegawai Eksekutif MARii Datuk Madani Sahari. 

 

Turut hadir pada majlis menandatangani MoU itu ialah Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali. 

 

pecca

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pecca, Datuk Teoh Hwa Cheng berkata, pengecualian duti penuh untuk EV seperti yang dicadangkan dalam Bajet 2022 pasti akan meluaskan pasaran EV termasuk komponennya di negara ini.

 

"Kerjasama dengan MARii bermula hari ini akan menandakan satu perjalanan yang menarik bagi kami untuk mula menghasilkan produk baharu berkaitan segmen EV selain mencipta peluang baharu dalam segmen automotif.

 

Beliau juga memberitahu, pihaknya juga akan mengintai peluang dalam jangka masa panjang untuk meneroka pasaran pembuatan EV termasuk jalinan kerjasama dengan jenama luar bagi menghasilkan produk tempatan.

 

“Melalui MoU ini, Pecca akan dapat mengubah syarikat menjadi pembekal Tahap 1 yang memasarkan dan menjual produk semasa dan baharunya kepada OEM dengan akses kepada pelanggan yang lebih besar. 

 

"Ia dijangka menyumbang secara positif kepada keseluruhan pendapatan masa depan serta pendapatan syarikat," katanya.-Dagangnews.com