Kerjasama TNB jayakan agenda perubahan iklim & teknologi hijau negara | DagangNews Skip to main content

Kerjasama TNB jayakan agenda perubahan iklim & teknologi hijau negara

 

KUALA LUMPUR 12 Okt – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalu-alukan dan menyokong penuh pendirian kerajaan dalam menerajui agenda perubahan iklim dan teknologi hijau negara yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

 

Pengerusi TNB Dato’ Sri Hasan Arifin berkata, dalam mendukung usaha menyeluruh meminimumkan kesan peningkatan pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gas - GHG) ekoran aktiviti manusia, TNB selaku syarikat utiliti elektrik nasional telah pun mengambil tindakan proaktif Ogos lalu dengan mengumumkan hala tuju kelestariannya (TNB Sustainibility Pathway).

 

Menurut beliau, di bawah hala tuju ini, TNB telah menetapkan aspirasi mencapai pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050.

 

 

chairman tnb
Pengerusi TNB Dato’ Sri Hasan Arifin

 

 

''Hasrat ini dipacu komitmen mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 35% serta pengurangan 50% kapasiti penjanaan tenaga menerusi arang batu menjelang 2035

 

''Ia adalah pelan strategik rendah karbon untuk menyumbang kepada kehidupan yang lebih sejahtera sejajar komitmen masyarakat dunia melindungi bumi dengan memastikan semua orang menikmati kesejahteraan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Hasan berkata, inisiatif TNB ini menepati agenda perubahan iklim dan teknologi hijau kerajaan Malaysia yang bakal dibentangkan pada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland pada 31 Oktober hingga 12 November depan.

 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din pula menjelaskan bahawa TNB juga komited memastikan pendapatan daripada loji arang batu tidak melebihi 25% daripada keseluruhan pendapatannya.

ceo tnb
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din

 

 

“Pada awal tahun ini pula, kami telah menyatakan komitmen untuk tidak lagi melabur dalam pembinaan loji arang batu di atas tapak baharu selepas Stesen Janakuasa Jimah East Power, di Port Dickson, yang mula beroperasi pada 2019.”

 

“Sebagai langkah tambahan, TNB juga akan meningkatkan peruntukan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan tenaga boleh baharu (RE) selain usaha sedia ada dalam aktiviti perniagaan RE,” kata Baharin.

 

Untuk itu, katanya, TNB giat meneraju peralihan tenaga dengan mengutamakan kecekapan tenaga dan teknologi tenaga bersih termasuk menambah aset RE dalam dan luar negara, serta infrastruktur berkaitan seperti kestabilan grid dan meningkatkan pendigitalan.

 

“Kami akan bekerja bersama-sama dengan pihak kerajaan dan semua pihak yang berkaitan sebagai satu usaha tindakan bersama seluruh negara ke arah mencapai aspirasi pelepasan sifar bersih ini,” kata Baharin lagi. – DagangNews.com