Kerjasama vaksin, pemulihan berupaya tingkatkan pendapatan global AS$9 trilion - IMF | DagangNews Skip to main content

Kerjasama vaksin, pemulihan berupaya tingkatkan pendapatan global AS$9 trilion - IMF


WASHINGTON 16 Okt. - Kerjasama kukuh bagi membangunkan vaksin COVID-19 boleh membantu ekonomi dunia berkembang pantas sekali gus meningkatkan pendapatan global sekitar AS$9 trilion (RM37.4 trilion) menjelang 2025. 

Menurut Reuters, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva dalam sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa badan ekonomi dunia itu berkata, vaksin perlu diagihkan ke serata dunia sama ada negara membangun atau kaya bagi meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelabur, pelancong dan juga perdagangan.   

Beliau turut menggalakkan Amerika Syarikat (AS) dan China memperkukuhkan rangsangan ekonomi bagi membantu pemulihan ekonomi global. 

"Jika kita boleh mempercepatkan kemajuan, kita juga boleh memastikan pemulihan bergerak dengan pantas, justeru pendapatan global boleh meningkat AS$9 trilion lagi menjelang 2025. 

"Ini secara tidak langsung boleh merapatkan jurang pendapatan antara negara kaya dan miskin. Sehubungan itu, kita memerlukan kerjasama erat di peringkat antarabangsa dan paling penting, pembangunan vaksin dan pengagihannya," jelas beliau. 

Jawatankuasa Kewangan dan Monetari Antarabangsa IMF dalam kenyataannya berkata, akses yang adil dan berpatutan kepada vaksin COVID-19 akan menjadi kunci utama mengelakkan kesan buruk terhadap ekonomi dunia. 

Malah, Georgieva menyatakan, beliau tidak ragu-ragu yang Kongres AS dan White House akan bersetuju untuk melaksanakan satu lagi pakej rangsangan ekonomi cuma masanya belum ditentukan.  

"Kira-kira AS$3 bilion (RM12.47 bilion) pakej rangsangan AS sebelum ini menjadi pemangkin yang positif dan kami berharap ia diteruskan," katanya. 

Jawatankuasa IMF juga menyifatkan penglibatan pemiutang swasta dan dua hala amat penting supaya dapat memberi pelepasan hutang kepada negara miskin. - DagangNews.com