Kerjaya Prospek catat hasil tertinggi RM300.6 juta pada suku pertama | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek catat hasil tertinggi RM300.6 juta pada suku pertama

Keuntungan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 juga meningkat 9.4% kepada RM28.9 juta. - Gambar : Facebook Kerjaya Prospek

KUALA LUMPUR 26 Mei - Kerjaya Prospek Group Bhd. melaporkan hasil suku tahunan tertingginya sebanyak RM300.6 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022. 

 

Ia meningkat 11.9% daripada RM268.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu, berikutan pembayaran kemajuan yang lebih tinggi daripada aktiviti pembinaannya pada suku berkenaan.

 

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) juga meningkat 9.4% kepada RM28.9 juta daripada RM26.4 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Lembaran imbangan kumpulan juga kekal sihat dan kukuh dengan kedudukan tunai bersih RM197.3 juta dan nisbah semasa 3.8 kali setakat 31 Mac 2022.

 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata, kumpulan memulakan tahun kewangan dengan mantap di sebalik persekitaran operasi mencabar disebabkan kesan krisis Rusia-Ukraine dan gangguan rantaian bekalan.

 

Katanya, pencapaian itu menggambarkan rekod prestasi kukuh dalam menyampaikan keputusan dan keupayaan untuk memenangi kontrak untuk meningkatkan pendapatan kumpulan.

 

"Ini terbukti apabila kami memperoleh 3 kontrak bernilai lebih RM1 bilion sejak awal tahun, yang mengukuhkan nilai kontrak terkumpul kami kepada RM4.4 bilion, sekali gus mengekalkan pendapatan kami dalam tempoh 5 tahun akan datang," katanya.

 

Beliau juga memberitahu, kumpulan menyasarkan untuk melancarkan 2 projek pembangunan hartanah baharu, Dutamas Development (Yakin Land) dan Monterez Development dengan nilai pembangunan kasar RM730 juta pada separuh kedua 2022.

 

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan bahagian pembangunan hartanah akan menyumbang sebahagian besar kepada keuntungan kumpulan," tambahnya. - DagangNews.com