Kerjaya Prospek raih kontrak ketiga bernilai RM265 juta di Pulau Pinang bagi tahun 2022 | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek raih kontrak ketiga bernilai RM265 juta di Pulau Pinang bagi tahun 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 April - Kerjaya Prospek Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn. Berhad berjaya mendapatkan kontrak ketiga tahun ini bernilai RM265 juta daripada anak syarikat Eastern & Oriental, Persada Menteri Sdn. Bhd. bagi menjalankan kerja-kerja bangunan utama yang terletak di Kawasan Terbusguna Tanah Seri Tanjung Pinang (Fasa 2A), Pulau Pinang.

 

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumuplan itu berkata, projek berkenaan melibatkan dua blok apartment yang memiliki 1,020 unit kediaman, tempat letak kereta bawah tanah, tempat letak kereta empat tingkat dan dua tingkat unit komersial.

 

Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya dalam 32 bulan daripada tarikh permulaan iaitu 1 Julai 2022.

 

Kontrak itu hadir selepas kumpulan itu berjaya meraih kontrak kedua untuk tahun ini yang bernilai RM197.5 juta daripada anak syarikatnya, Yakin Land Sdn. Bhd. pada Mac 2022.

 

Projek itu melibatkan kerja-kerja bagi dua blok apartment yang memilki 454 unit kediaman selain empat tingkat tempat letak kenderaan, kemudahaan kediaman serta dua tempat letak kereta bawah tanah.

 

Pembangunan itu dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh 36 bulan bermula 1 Mei 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata, pihaknya juga berjaya mendapatkan kontrak pembangunan bernilai RM710.1 juta bagi projek Astrum Ampang.

 

Katanya, kejayaan mendapatkan projek terbaharu itu menyaksikan merkea berjaya mendapatkan tiga projek pada 2022 sekali gus menghampiri sasaran RM1.2 bilion untuk 2022.

 

"Kejayaan mendapatkan projek seperti itu dalam tempoh empat bulan bagi 2022 menunjukkan daya saing kami dalam pasaran serta kemampuan kami sebagai kontraktor terkemuka Malaysia.
 

"Sehingga kini, tempahan yang kami peroleh adalah sebanyak RM4.4 bilion dan ia membantu memberikan pendapatan yang jelas dalam tempoh lima tahun akan datang selain kami akan terus bersaing mendapatkan projek baharu," katanya. - DagangNews.com