Kerugian bersih MSM susut 76% | DagangNews Skip to main content

Kerugian bersih MSM susut 76%

 

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Kerugian bersih (LAT) yang direkodkan MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) menyusut 76% kepada RM71.23 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, berbanding RM299.77 juta untuk tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Sebahagian daripada LAT tersebut adalah hasil daripada margin keuntungan kasar yang lebih tinggi sebanyak 7% pada tahun yang ditinjau disebabkan kos penapisan dan gula mentah yang lebih rendah. 

 

Bagaimanapun, dalam tempoh itu, syarikat turut merekodkan Keuntungan Bersih (PAT) daripada operasi berterusan sebanyak RM3.86 juta.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat pengeluar gula itu berkata, perolehan bagi 2020 meningkat kepada RM2.18 bilion berbanding RM2.01 bilion bagi tempoh sama 2019. 

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2020, MSM mencatat peningkatan dalam jumlah keseluruhan pendapatan sebanyak 22% kepada RM630.33 juta berbanding RM516.04 juta tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

MSM merekodkan PAT berjumlah RM56.24 juta pada suku keempat berbanding LAT RM40.28 juta untuk tempoh sama 2019 ekoran margin keseluruhan yang tinggi dan kos kewangan rendah. 

 

Syarikat itu dalam kenyataan berasingan menyifatkan, tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 menandakan kemajuan yang positif buat MSM ke arah pemulihan setelah mencatatkan kerugian 8 suku berturut-turut. 

 

Ini adalah susulan pengukuhan kos pengeluaran serta jumlah pengeluaran dan premium yang tinggi.

 

Syed Feizal Syed Mohammad
Syed Feizal Syed Mohammad

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM yang baru dilantik, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, tindakan rasionalisasi kapasiti syarikat melalui penamatan operasi di MSM Perlis serta penyatuan operasi ke kilang baharu, MSM Johor telah mengurangkan kos penapisan dan menambahbaik penggunaan kapasiti (UF). 

 

Inisiatif lanjut telah dilaksanakan bagi menstabilkan operasi di MSM Johor dengan kelengkapan fasiliti-fasiliti produk baharu.

 

"Pelaksanaan strategi-strategi utama telah mengukuhkan kedudukan perniagaan syarikat sepanjang tahun di samping memulihkan prestasi kewangan pada setiap suku," katanya. 

 

Sementara itu, kos penapisan berkurang sebanyak 3% berbanding tahun sebelum ini berikutan Kadar Penggunaan Kapasiti (UF) dan hasil yang lebih baik, terutama di MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd. (MSM Johor) yang
merekodkan peningkatan dalam hasil dari 88% kepada 90%, manakala UF bertambahbaik dari 18% kepada 23%.

 

Syed Feizal berkata, MSM akan terus kekal berdaya tahan untuk lebih kompetitif serta memastikan prestasi kewangan yang lebih kukuh ke arah pemulihan syarikat. 

 

"Strategi perniagaan dan operasi akan terus diperkasakan melalui pengoptimuman pengeluaran, peningkatan pemasaran serta transformasi organisasi sejajar dengan cabaran pasaran dan industri semasa serta peluang yang ada," katanya. - DagangNews.com