Kes COVID-19 kekal tinggi, saham Hartalega, Kossan, Supermax, Top Glove catat kerugian | DagangNews Skip to main content

Kes COVID-19 kekal tinggi, saham Hartalega, Kossan, Supermax, Top Glove catat kerugian

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Bursa tempatan petang ini ditutup rendah sejajar dengan pasaran serantau yang lain.

 

Ini berikutan penjualan secara besar-besaran dalam pasaran ekuiti China dan juga jangkitan COVID-19 terus kekal tinggi di dalam negara.

 

Indeks utama FBM KLCI mengakhiri dagangan pada 1,512.5 mata setelah susut 0.7% dengan 4.82 saham diniagakan bernilai RM2.8 bilion.

 

Keseluruhan pasaran juga menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung pada 702 berbanding 342 dengan 428 kaunter tidak berubah.

 

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim berkata, saham berkaitan pengeluar sarung tangan getah seperti Hartalega merekodkan kerugian terbesar dalam kalangan indeks KLCI di sebalik kes jangkitan harian melebihi paras 10,000. 

 

"Selain itu, indeks penjagaan kesihatan turut merekodkan kerugian yang tinggi dalam kalangan indeks setelah dengan merosot sehingga 2% dalam dagangan hari ini," katanya kepada DagangNews.com. 

 

Hartalega susut 31 sen kepada RM7.39 manakala Supermax susut 23 sen kepada RM3.44 diikuti Kossan jatuh 23 sen kepada RM3.26. Top Glove juga susut 0.40 sen kepada RM4.10.

 

Kaunter untung sebaliknya didahului dengan Genetec menokok 56 sen kepada RM18.72.

 

Bagi kaunter paling aktif, saham SMTRACK mendahului dagangan dengan menokok 0.10 sen kepada 0.9 sen diikuti PUC naik 0.20 sen kepada 17.5 sen dan MAG, menokok 0.05 sen kepada 20 sen. - DagangNews.com