Kes pertama SPRM dakwa pegawai kanan pecat pemberi maklumat | DagangNews Skip to main content

Kes pertama SPRM dakwa pegawai kanan pecat pemberi maklumat

SHAH ALAM 17 Sept. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh seorang pegawai kanan syarikat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 8.30 pagi, esok.

Tertuduh akan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 10 (3) (b), Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) kerana telah menyebabkan seorang kakitangan syarikat dipecat setelah memberikan maklumat kepada SPRM berkaitan salah laku yang dibuat oleh tertuduh.

Pertuduhan di bawah seksyen tersebut merupakan yang pertama dalam sejarah sejak akta berkenaan berkuat kuasa pada 2010. SPRM amat prihatin dengan masalah yang terpaksa dihadapi oleh pemberi maklumat sekiranya mereka dikenakan tindakan atas pendedahan jenayah rasuah yang dilakukan oleh pihak tertentu.

"Peruntukan undang-undang tersebut menggalakkan pendedahan maklumat mengenai sebarang jenayah rasuah atau salah laku lain di samping memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan yang memudaratkan.

"Oleh demikian, SPRM tidak akan teragak-agak menjalankan siasatan ke atas pihak yang cuba mengenakan tindakan yang memudaratkan ke atas pemberi maklumat,'' kata suruhanjaya itu di dalam kenyataan media hari ini.

SPRM berharap agar pertuduhan berkaitan kes ini dapat memberikan isyarat kepada masyarakat agar tidak gentar dalam memberikan kerjasama kepada agensi penguat kuasa untuk menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

"Pertuduhan berkaitan kes ini juga diharapkan dapat memberi pengajaran kepada pihak yang cuba mengenakan tindakan ke atas pemberi maklumat," kata SPRM. - DagangNews.com