Kes SRC: Najib bersalah atas 7 pertuduhan | DagangNews Skip to main content

Kes SRC: Najib bersalah atas 7 pertuduhan

NAJIB. Gambar oleh AFP

KUALA LUMPUR 28 Julai - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan penyalahgunaan kuasa membabitkan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Kesalahan itu juga melibatkan aktiviti pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram.

Keputusan tersebut diputuskan hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali selepas pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kes pasukan pendakwaan.

"Pada penghakiman saya, setelah mempertimbangkan semua bukti yang dikemukakan di mahkamah ini, saya mendapati tertuduh bersalah dan mensabitkan tertuduh terhadap kesemua tujuh pertuduhan," jelas hakim itu.

Najib yang diwakili Peguam Bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bagi dua jenayah CBT, Najib didakwa menyeleweng RM27 juta dan RM5 juta daripada dana berjumlah RM4 bilion milik SRC antara 24 hingga 29 Disember 2014.

Najib juga didakwa menyeleweng RM10 juta daripada RM4 bilion dana SRC antara 10 Februari dan 2 Mac 2015 bagi pertuduhan ketiganya.

Bagi pertuduhan penyalahgunaan kuasa, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan RM42 juta menerusi penglibatan dalam keputusan menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman yang dipohon daripada KWAP oleh SRC yang berjumlah RM4 bilion.

Dakwaan kesalahan tersebut adalah antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Manakala bagi pertuduhan wang haram, Najib didakwa menerima RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta hasil daripada aktiviti haram menerusi Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Eletronik Tepat Masa (Rentas) ke dalam dua akaun AmIslamik Bank Berhad antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Setelah selesai hakim membuat keputusan, ketua pembelaan yang mewakili Najib turut membuat permohonan agar rayuan sebelum dijatuhkan hukuman didengar pada Isnin.

Bagaimanapun, permohonan tersebut dibantah Timbalan Pendakwa Raya Kanan, V Sithambaram. - DagangNews.com