Kesatuan kakitangan Am UPM sambut baik arahan KPT minta Naib Canselor cuti sebulan | DagangNews Skip to main content

Kesatuan kakitangan Am UPM sambut baik arahan KPT minta Naib Canselor cuti sebulan

Mohd. Razali Singah
 

KUALA LUMPUR, 26 Feb.  –  Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia (UPM) atau Kepertama, menyambut baik arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mengarahkan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman bercuti selama sebulan.

 

Presiden Kepertama, Mohd. Razali Singah mengulas mengenai laporan akhbar hari ini mengenai Naib Canselor UPM diarahkan bercuti selama sebulan atas sebab yang tidak diketahui.

 

“Kepertama menyokong penuh keputusan ini kerana majoriti ahli Kepertama dan warga UPM resah setelah mengetahui sebab-sebab tersebut yang telah tersebar lebih awal dan menuntut satu Jawatankuasa Siasatan Bebas dijalankan oleh KPT terhadap masalah Naib Canselor UPM sebelum tindakan sewajarnya diambil oleh KPT," katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Beliau dalam masa sama yakin dan percaya serta menaruh harapan yang tinggi kepada KPT agar dapat menyelesaikan kemelut berkenaan dengan segera untuk menjaga nama baik UPM, KPT dan pihak berkepentingan.

 Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman
Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman

 

Semalam sebuah akhbar melaporkan Mohd Roslan ‘dicutikan’ bermula 18 Februrari lalu sehingga Mac atas sebab yang tidak diberitahu.

 

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM, Prof Dr Daud Ahmad Israf Ali yang memberitahu telah menerima surat tersebut dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

 

Menerusi surat itu, KPT juga dilapor melantik Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Datuk Dr Zulkifli Idris untuk menjalankan tugas-tugas Naib Canselor.

 

Prof Datuk Dr Zulkifli Idris
Prof Datuk Dr Zulkifli Idris

 

“Kami terima surat daripada Menteri Pengajian Tinggi mengenai perkara ini iaitu diarahkan bercuti tetapi tidak diberitahu sebab-sebabnya,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.

 

Sementara itu, Dr Zulkifli yang dihubungi akhbar itu mengesahkan telah diarah menjalankan tugas naib canselor namun tidak mengulas lanjut.

 

Untuk rekod, Mohd Roslan dilantik sebagai naib canselor berkuatkuasa 1 September 2020 hingga 31 Ogos 2023 dan telah dipertanggungjawabkan menjalankan fungsi untuk jawatan itu sejak 1 Julai 2020.

 

Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM selama hampir tiga tahun serta menggalas jawatan pentadbiran dan akademik yang lain, antaranya Pengerusi Jemaah Pengetua Kediaman Pelajar UPM dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM. - DagangNews.com