Kesedaran takaful masyarakat Islam masih lemah | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 1 February 2022

Kesedaran takaful masyarakat Islam masih lemah

 

 

SALAH satu cabaran sistem kewangan Islam adalah lemahnya kesedaran umat Islam tentang kepentingan takaful. 

 

Secara dasarnya, pengendali takaful, melalui para ejen mereka sebenarnya telah berjaya menyampaikan pengetahuan tentang takaful kepada masyarakat.

 

Namun, sikap tidak ambil peduli tentang kepentingan takaful membuatkan mereka terdedah kepada risiko bencana yang mungkin akan menimpa diri sendiri dan juga keluarga.

 

Tidak hairanlah mengikut satu data yang dipetik pada 2021, hanya 17.1% sahaja daripada populasi rakyat Malaysia melanggan produk takaful keluarga. 

 

Rupanya, masih ramai yang menunggu dengan sambil lewa untuk menjadi ahli tabung tabarru’ yang disediakan oleh 11 pengendali takaful keluarga yang berdaftar di Malaysia.

 

Antara sebab kelemahan tentang kepentingan takaful kerana masih terdapat sebilangan masyarakat yang tidak tahu perbezaan antara insurans dan takaful. 

 

Walaupun, kedua-duanya mempunyai niat yang baik, namun dari sudut kehendak syariah, takaful lebih sesuai, terutama kepada umat Islam.

 

Apakah perbezaan insurans dan takaful? 

 

Takaful dan insurans adalah jenama produk yang ditawarkan oleh syarikat insurans dan pengendali takaful. 


Kewujudan takaful adalah untuk menyesuaikan masyarakat Islam dengan budaya serta gaya hidup mereka yang dahagakan produk halal dan patuh syariah.

 

Insurans berkonsepkan 'pampasan kerugian'. Premium yang dibayar pelanggan akan dimiliki oleh syarikat insurans dan mereka akan membayar pampasan sekiranya berlaku kemalangan atau bencana kepada pelanggan mereka. 

 

Takaful pula berkonsepkan 'tolong menolong' (ta’awun). Sumbangan yang dibayar pelanggan akan dimasukkan ke dalam tabung dana peserta di mana dana tersebut bukan milik pengendali takaful. Ia adalah milik bersama pelanggan-pelanggan takaful. 

 

Pengendali takaful hanya mengendalikan tabung itu sahaja. Sekiranya pelanggan ditimpa musibah, maka, dana dari tabung peserta tersebut akan diguna untuk membantu pelanggan berkenaan.

 

Insurans pula mengaplikasi kontrak jual beli. Pelanggan membeli polisi insurans dengan membayar premium. Premium ini adalah harga kepada ‘perlindungan’ yang dibeli oleh pelanggan. 

 

Dalam operasi takaful, sebaliknya, kontrak yang digunakan ialah tabarru’, iaitu, sumbangan ke tabung dana peserta. Bayaran yang dibuat oleh pelanggan disebut 'sumbangan' dan bukan 'premium'.

 

Kontrak jual beli yang digunakan oleh operasi insurans tidak selari dengan rukun-rukun jual beli yang digariskan oleh syariah. 

 

Satu daripada rukun jual beli iaitu barang, tidak lengkap dalam kontrak jual beli insurans. 

 

Dari sudut pandangan syariah, 'perlindungan' yang dibeli oleh pelanggan insurans bukan barang yang boleh diterima. 

 

'Perlindungan' bukan barang. Oleh demikian, rukun jual beli tidak lengkap dan ia menimbulkan unsur 'gharar', iaitu, isu ketidakpastian yang membawa kepada terbatalnya kontrak jual beli tersebut. - DagangNews.com

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags