Sebahagian barang seludup bernilai RM8.3 juta yang dirampas di Tamparuli. Gambar The Borneo Today
KUALA LUMPUR 29 Julai – Kehilangan kerja, potongan gaji dan berkurangnya peluang-peluang pekerjaan kini mengakibatkan kesulitan kewangan kepada ramai pengguna di seluruh Malaysia dan keadaan ini akan menyemarakkan perdagangan haram secara besar-besaran, kata kumpulan advokasi pengguna global, Consumer Choice Center (CCC).
Ulasan CCC ini adalah susulan Laporan Jabatan Perangkaan (DoSM) mengenai Gaji dan Ganjaran 2020 yang mendapat median gaji dan ganjaran bulanan mencatat penurunan dua angka sebanyak 15.6% kepada RM2,062. Selain itu, DoSM semalam melaporkan graduan yang gagal memperoleh kerja meningkat sebanyak 22.5% pada 2020.
Pengarah Urusan CCC, Fred Roeder berkata, “Para pengguna yang terjejas oleh kekangan krediti biasanya akan mencari cara dan kaedah alternatif untuk berjimat dalam perbelanjaan mereka. Ini secara semula jadi membuka permintaan terhadap barangan seludup yang lebih murah kerana tidak dicukai dan tidak mengikut peraturan.”
“Kami sudah menyaksikan peningkatan di dalam perdagangan rokok seludup daripada siri rampasan berprofil tinggi dan memecah rekod oleh Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, baru-baru ini.
“Jelas para pengguna mencari alternatif lebih murah berbanding rokok sah yang lebih mahal dan sindiket jenayah dengan sukacitanya bekerja untuk memenuhi permintaan ini menggunakan apa sahaja cara yang boleh,” kata Roeder dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut CCC, para pengguna yang akan kerugian banyak jika perdagangan haram tidak dapat dibendung. Berdasarkan kertas dasar oleh CCC bertajuk “Illicit Trade is Dangerous for Consumers” (Perdagangan Haram adalah Berbahaya Kepada Pengguna), organisasi ini menegaskan bahawa pasaran rokok seludup membinasakan kesihatan orang awam dan telah terbukti ia membiayai jenayah terancang.
Selain itu, perdagangan haram juga menyasarkan kumpulan yang paling lemah di dalam masyarakat manakala pengguna terkena impak disebabkan rokok seludup dihasilkan di dalam persekitaran tidak selamat dan menggunakan produk tidak terjamin keselamatannya. Ia juga mengenengahkan bahawa pekedai kecil terkena kesan yang besar akibat pasaran rokok seludup kerana mereka bukan sahaja kehilangan jualan rokok sah tetapi juga barangan lain yang biasa dibeli oleh perokok dewasa di dalam kedai mereka.
“Penguatkuasaan sahaja tidak memadai untuk menangani perdagangan haram. Permasalahan rokok seludup misalnya, sebanyak 11.4 bilion batang rokok seludup dijangka membanjiri pasaran Malaysia tahun ini, berdasarkan Kajian Rokok Seludup (ICS) terbaharu pada Mei 2021 oleh NIELSEN.
“Tindakan penguatkuasaan dengan merampas rokok seludup dalam bilangan jutaan batang, adalah satu langkah ke jalan yang betul, namun ia tidak sama sekali memberi kesan terhadap perdagangan seludup berpuluh-puluh juta Ringgit ini,” kata Roeder.
“Penguatkuasaan hendaklah disokong dengan kesungguhan politik dan dasar cukai pragmatic. Penggubal undang-undang Malaysia hendaklah menghentikan pergeseran politik dan bekerja Bersama-sama kea rah membanteras perdagangan haram dengan memperkasakan lagi agensi penguatkuasaan, menyokong perkongsian perisikan antara negara-negara dan menangani perbezaan harga yang berbeza besar antara rokok seludup dengan rokok sah,” kata Roeder.
Consumer Choice Center merupakan kumpulan advokasi pengguna yang menyokong kebebasan gaya hidup, inovasi, privasi, sains dan pilihan pengguna. Bidang dasar utama yang CCC fokuskan adalah digital, mobility, barangan pengguna & gaya hidup, dan kesihatan & sains.
CCC mewakili pengguna di lebih 100 negara di seluruh dunia. Kami memantau rapi trend perundangan di Kuala Lumpur, Ottawa, Washington, Brussels, Geneva dan hotspot perundangan lain dan memaklumkan serta mengaktifkan pengguna bagi menuntut #ConsumerChoice. Lawat consumerchoicecenter.org untuk maklumat lanjut. – DagangNews.com