Kesesakan lalu lintas antara faktor kenaikan tambang e-hailing | DagangNews Skip to main content

Kesesakan lalu lintas antara faktor kenaikan tambang e-hailing

Gambar Bernama

KUALA LUMPUR 24 Mei - Penawaran dan permintaan tidak seimbang serta kesesakan lalu lintas tinggi hingga menyebabkan masa perjalanan lebih lama, menjadi antara dua faktor utama menyumbang kepada lonjakan kadar tambang e-hailing.

 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, maklumat itu diperoleh hasil perbincangan antara pihaknya dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dengan pengendali e-hailing (EHO) yang berkenaan.

 

Beliau berkata, beberapa syarikat e-hailing juga menunjukkan penurunan bilangan pemandu berdaftar sebanyak 30 peratus berbanding sebelum COVID-19 melanda negara.

 

"Kekurangan pemandu e-hailing ini secara tidak langsung menyebabkan masa menunggu kenderaan di beberapa tempat menjadi lebih lama daripada jangkaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Ka Siong berkata, pada masa yang sama, fasa peralihan ke endemik mulai 1 April lalu juga menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak dalam permintaan perkhidmatan e-hailing.

 

Katanya, tempoh yang sama juga menyaksikan pergerakan orang ramai bergerak bebas bagi menjalankan aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian seperti biasa, sekali gus menyumbang kepada kesesakan lalu lintas berbanding peringkat awal wabak menular.

 

"Faktor ini telah mempengaruhi formula pengiraan tambang yang digunakan oleh EHO merangkumi pelbagai faktor termasuk jarak perjalanan, aliran trafik, keadaan cuaca, serta penawaran dan permintaan pasaran.

 

"Ini semua mempengaruhi kenaikan tambang sejak kebelakangan ini," katanya.

 

Berkaitan peraturan struktur tambang pula, beliau berkata terdapat dua caj iaitu tambang asas dan surcaj.

 

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak mengawal tambang asas dan surcaj tidak boleh melebihi dua kali ganda daripada tambang asas, dengan mengambil kira kadar waktu puncak dan harga bahan api.

 

"EHO dibenarkan untuk menetapkan struktur tambang mereka berdasarkan formula sendiri dan syarat perkhidmatan mereka dengan pengguna dalam pasaran terbuka," katanya.

 

Ka Siong berkata, setakat ini EHO yang berkenaan juga sudah memberi jaminan kepada pihaknya untuk memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah meningkatkan bilangan pemandu yang ada pada masa ini.

 

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan juga akan terus memastikan lebih banyak EHO bersama-sama perkhidmatan teksi dan bas tersedia untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

 

"Terdapat lebih 130,000 individu memegang lesen vokasional untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing.

 

"Angka ini dijangka bertambah apabila Institut Memandu dan EHO menerima lebih banyak calon untuk menjadi pemandu e-hailing bagi 21 EHO dengan lesen aktif di seluruh negara termasuk Lembah Klang," katanya.

 

Justeru, beliau berkata, Kementerian Pengangkutan menggesa semua EHO supaya meningkatkan saluran komunikasi mereka dengan pengguna, lapor Berita Harian.

 

"Kementerian Pengangkutan juga akan terus memantau industri e-hailing untuk memastikan keadilan dan mengelakkan beban yang tidak wajar kepada pengguna," katanya. - DagangNews.com