Ketidakpastian pembukaan sektor automotif ganggu jangkaan jualan 2021 - MIDF | DagangNews Skip to main content

Ketidakpastian pembukaan sektor automotif ganggu jangkaan jualan 2021 - MIDF

sektor automotif

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Teka-teki dan ketidakpastian pembukaan sektor automotif di negara ini memberi risiko dan menyukarkan jangkaan jualan atau jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun 2021.

 

MIDF Research berkata, disebalik perkara itu, permintaan terhadap sektor berkenaan bagaimanapun akan terus kukuh dengan bank tempahan yang baik.

 

Bagi TIV 2021, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) membuat semakan ke bawah sebanyak 12% kepada 500,000 unit berbanding 570,000 unit pada sebelumnya.

 

Mengulas berkaitan perkara itu, MIDF Research berpendapat bahawa ianya adalah satu penurunan yang drastik dan hanya berdasarkan kepada jangkaan sektor automotif yang akan beroperasi semula ketika Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

"SOP dalam Fasa 2 oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 16 Julai lalu telah menyenaraikan sektor automotif sebagai salah satu daripada 18 sektor yang dibenarkan beroperasi dalam kelompok sektor pembuatan.

 

"Namun ketidakpastian mengenai pengoperasian semula sektor ini sama ada ketika Fasa 2 atau 3 menimbulkan risiko kepada jangkaan semasa TIV 2021 kami sebanyak 550,000 unit (+4% yoy)," jelas MIDF Research.

 

TIV pada Jun hanya mencatatkan sebanyak 1,921 unit, menurun 96% berbanding tahun sebelumnya.

 

Penurunan yang dicatatkan pada Jun itu tidak memberi kejutan memandangkan perintah berkurung di seluruh negara di bawah Fasa 1 PPN sejak 1 Jun.

 

Ekoran perintah tersebut, bahagian pembuatan dan bilik pameran jualan sektor automotif perlu ditutup.

 

Mengulas lanjut, MIDF Research berkata, indikator yang lebih penting adalah sasaran negara untuk mencapai imuniti kelompok yang memberi sokongan kepada pemulihan yang berterusan.

 

"Peningkatan kadar vaksinasi yang dicatatkan kini menghampiri sasaran 80% imuniti kelompok yang akan dicapai pada akhir 2021 sekali gus memberi pandangan positif terhadap pemulihan sektor ini," ujar MIDF Research. - DagangNews.com