Keuntungan bersih 2Q21 Hartalega meningkat 5 kali ganda kepada RM544.96 juta | DagangNews Skip to main content

Keuntungan bersih 2Q21 Hartalega meningkat 5 kali ganda kepada RM544.96 juta

Hartalega Holdings Bhd.

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Syarikat pembekal sarung tangan getah, Hartalega Holdings Bhd. (Hartalega) berjaya mencatatkan peningkatan jumlah keuntungan lima kali ganda kepada RM544.96 juta pada suku kedua 2021.

Menurut Hartalega, keuntungan yang dicapai pada tempoh berakhir 30 September 2020 itu merupakan jumlah keuntungan bersih suku tahunan yang terbaik pernah dicapai syarikat berkenaan.

"Jumlah keuntungan bersih untuk suku kedua 2021 meningkat lima kali ganda kepada RM544.96 juta berbanding RM103.87 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

"Pendapatan sesaham juga melonjak kepada 15.95 sen berbanding 3.09 sen pada sebelumnya.

"Mengikut peratusan, pendapatan suku tahunan syarikat itu melonjak 89.73% kepada RM1.35 bilion berbanding RM709.42 juta pada suku kedua 2020," jelas Hartalega seperti dilapor The Edge.

Pertumbuhan luar biasa yang dicatatkan syarikat itu didorong oleh penjualan yang tinggi, harga purata jualan yang lebih tinggi dan kos bahan yang lebih rendah selain kecekapan pengeluaran yang baik.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2021, keuntungan bersih melonjak sebanyak 286.34% kepada RM764.68 juta berbanding RM197.93 juta pada tahun lalu.

Pendapatan pula meningkat 67.92% kepada RM2.27 bilion untuk tempoh sama.

Kumpulan tersebut terus optimis terhadap prospek jangka panjang yang disokong oleh peningkatan permintaan untuk sarung tangan getah.

Dalam pada itu, Hartalega juga akan meneruskan perancangannya untuk projek Sarung Tangan Bersepadu Generasi Baharu (NGC). - DagangNews.com