Keuntungan bersih Kelington melonjak 84% kepada RM13.6 juta pada Q2 | DagangNews Skip to main content

Keuntungan bersih Kelington melonjak 84% kepada RM13.6 juta pada Q2

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Keuntungan bersih Kelington Group Bhd meningkat 84.0 peratus kepada RM13.6 juta pada suku kedua (Q2) berakhir Jun 2022 daripada RM7.4 juta setahun lalu.

 

Syarikat itu mencatatkan rekod pendapatan suku tahunan tertinggi sebanyak RM312.4 juta pada Q2 2022, meningkat 147 peratus daripada RM126.4 juta pada suku yang sama tahun lalu.

 

Pertumbuhan kukuh dalam prestasi kewangan itu disumbangkan oleh penyiapan projek yang lebih tinggi di Malaysia dan Singapura, katanya.

 

Ditambah dengan keputusan Q2 2022 yang mantap, prestasi separuh pertama syarikat 2022 (1H22) telah melonjak ke tahap yang baharu

 

Hasil dan keuntungan bersih pada 1H22 mencecah rekod tertinggi baharu sebanyak RM485.7 juta, melonjak 110.0 peratus, dan RM21.9 juta, masing-masing naik 70.0 peratus.

 

Mengulas mengenai prestasi kewangan syarikat, Ketua Pegawai Eksekutif Ir Raymond Gan berkata, syarikat itu kekal yakin untuk mencapai prestasi kewangan yang membanggakan dalam tahun kewangan semasa, disokong oleh buku pesanannya yang cemerlang.

 

Sehingga 30 Jun 2022, syarikat itu telah memperoleh kontrak baharu berjumlah RM798.0 juta.

 

Gan berkata, prospek bagi bahagian gas perindustrian kekal positif apabila permintaan untuk karbon dioksida cecair (LCO2) meningkat dengan pemulihan dalam aktiviti ekonomi.

 

"Rekod prestasi kami yang konsisten dalam memenangi tender projek mencerminkan reputasi kukuh kami, terutamanya dalam industri elektronik dan semikonduktor.

 

"Kami akan meneruskan penyertaan aktif kami dalam tender projek merentasi segmen ketulenan ultra tinggi, kejuruteraan projek dan kontrak am kami dalam pasaran geografi yang kami beroperasi," tambahnya. - DagangNews.com