Keuntungan bersih Maybank menyusut di bawah paras RM1 bilion | DagangNews Skip to main content

Keuntungan bersih Maybank menyusut di bawah paras RM1 bilion

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Maybank mencatatkan penurunan kepada keuntungan bersihnya sebanyak 51.55% iaitu RM941.73 juta daripada RM1.94 bilion bagi Suku Kedua berakhir 30 Jun 2020 (2QFY20), berbanding tempoh sama tahun lalu.

Penurunan itu didorong juga oleh hasil faedah bersih dan perbankan Islam yang merudum selain peruntukkan lebih tinggi untuk menampung hasil pinjaman yang terjejas disebabkan pandemik COVID-19 yang melemahkan lagi potensi masa hadapan.

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia, Maybank berkata, perolehan kumpulan menyusut kepada RM11.79 bilion pada 2QFY20 daripada RM13.05 bilion.

"Hasil faedah bersih kumpulan dan perbankan Islam bagi suku tahunan tersebut menyusut sebanyak RM351 juta atau 8.2% kepada RM3.949.5 juta berbanding tempoh sama tahun lepas.

"Peruntukan tambahan bagi menampung kehilangan daripada pinjaman, pendahuluan, pembiayaan dan hutang-hutang lain meningkat sebanyak RM1,347.7 juta atau 344.1% kepada RM1,739.3 juta berbanding tempoh sama berakhir 30 Jun 2019.

"Keuntungan selepas cukai dan zakat daripada pemegang ekuiti bagi tempoh suku tahunan berakhir 30 Jun 2020, menurun sebanyak RM1,108 juta kepada RM941.7 mjuta berbanding suku tahuan berakhir 31 Mac 2020 sebanyak RM2,049.7 juta," kata Maybank.
 

may


Untuk separuh pertama FY20, Maybank berkata, keuntungan kumulatif bersih jatuh kepada RM2.99 bilion daripada RM3.75 bilion setahun yang lalu manakala perolehan lebih rendah iaitu RM25.01 bilion berbanding RM26.03 bilion.

Menurut bank tersebut, pihaknya telah mengubah petunjuk prestasi utama bagi pulangan ekuiti kepada 7.5% bagi tahun kewangan 2020 berikutan pendapatan yang rendah disebabkan pertumbuhan perlahan segmen pinjaman, tekanan margin faedah bersih dan pengubahsuaian kerugian hari pertama.

"Ini adalah disebabkan prospek masa hadapan landskap ekonomi yang lemah kesan daripada pandemik COVID-19. Malah, kerugian segmen  pinjaman dijangka kekal meningkat.

"Kumpulan perbankan ini akan menangani jangkaan hasil lebih rendah ini dengan meningkatkan program pengurusan kos strategik untuk mengehadkan kenaikan overhed," kata Maybank. - DagangNews.com