Keuntungan suku pertama Aeon meningkat RM28.1 juta | DagangNews Skip to main content

Keuntungan suku pertama Aeon meningkat RM28.1 juta

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Mei - Aeon Co. (M) Bhd. (Aeon) meneruskan momentum pertumbuhan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 (Q1FY22) dengan mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM28.1 juta, berbanding tahun sebelumnya berjumlah RM22.0 juta.

 

Pencapaian itu merekodkan pertumbuhan 27.7% yang dicapai melalui margin runcit yang lebih baik dan pengurusan kos secara berdisiplin.

 

Pendapatan daripada segmen perkhidmatan pengurusan hartanah adalah berjumlah RM144.4 juta, iaitu 7.4% lebih tinggi berbanding berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM134.5 juta. 

 

Peningkatan itu datang daripada penambahbaikan komisen jualan dan sewaan ruang sementara yang diterima, seiring dengan sentimen pelanggan untuk kembali ke pusat membeli-belah secara fizikal.

 

Asas kuat yang menyokong prestasi keseluruhan ini datangnya dari aktiviti pelanggan yang kukuh melalui pelaksanaan program komunikasi pemasaran yang berkesan sepanjang suku tersebut yang menghasilkan kehadiran pelanggan (footfall) yang lebih tinggi di cawangan-cawangan Aeon seterusnya memacu peningkatan jualan. 

 

Setiap inisiatif tersebut dijalankan di bawah pelaksanaan operasi prosedur standard (SOP) yang ketat dalam menyediakan mutu perkhidmatan terbaik dan ketenangan fikiran kepada pelanggan untuk pengalaman membeli-belah yang menyenangkan dalam persekitaran yang bersih dan selamat.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Aeon, Shafie Shamsuddin berkata, syarikat telah mencatatkan prestasi kewangan memberangsangkan untuk suku pertama.

 

 

aeon

 

 

aeon

 

 

“Aeon sentiasa berusaha untuk menambahbaik tahap perkhidmatan kepada para pelanggan kerana mereka merupakan nadi kepada semua inisiatif yang kami laksanakan. Kami melancarkan kempen #AEONHargaJamin pada Disember tahun lepas yang berlangsung sehingga Februari 2022. 

 

"Menerusi kempen ini, kami memberikan perlindungan dan jaminan harga terhadap inflasi untuk lebih 500 barangan keperluan yang merangkumi 45% daripada barangan yang diperlukan oleh para pelanggan setiap kali mereka membeli-belah di Aeon. Kami akan melancarkan satu lagi kempen inflasi bersama-sama dengan rakan penyewa kami pada Jun ini untuk menangani keresahan para pengguna," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

aeon

 

 

Katanya, syarikat terus melangkah secara progresif ke arah perkembangan positif dalam perjalanan kelestarian dan salah satunya ialah dengan kenaikan gaji minima daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan berkuat kuasa pada 1 Januari 2022, lebih awal daripada garis masa yang disyorkan oleh kerajaan. 

 

Melangkah ke hadapan, Aeon akan memperkembangkan lagi model perniagaan Runcit Baharu (New Retail) yang berasaskan permintaan dan selaras dengan pasaran semasa yang dinamik, corak penggunaan dan perilaku para pelanggan. Teknologi, pendigitalan dan inovasi menjadi faktor utama untuk AEON dalam mengadaptasi transformasi digital. 

 

Sehingga kini ia telah berjaya mendatangkan hasil ketara menerusi platfom atas talian, myAEON2go. Aeon akan turut mempertingkatkan kecekapan digital di kalangan pelanggannya dan akan memastikan kelancaran strategi ‘Online-Merge-Offline’ (OMO). - DagangNews.com