Kewangan bercampur mampu elak risiko masa depan | DagangNews Skip to main content

Kewangan bercampur mampu elak risiko masa depan

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Jun - Institusi kewangan perlu berfikir secara kreatif untuk membangunkan penyelesaian yang baharu dan inovatif terutama dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi perniagaan dan individu ketika ini. 

 

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, dalam memenuhi keperluan pembiayaan, intrumens tradisional yang digunapakai oleh institusi kewangan sebenarnya adalah tidak mencukupi. 

 

Ketika berucap pada persidangan maya Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3), beliau memberi contoh kewangan bercampur, sebagai pilihan yang baik untuk perniagaan setelah terjejas akibat perubahan iklim dan juga kerugian akibat pandemik.

 

"Dengan menggabungkan pembiayaan konsesi dan dana komersial, sama seperti menggabungkan dana dermawan atau instrumen kewangan sosial dan pinjaman tradisional, pendekatan kewangan bercampur dapat mengelakkan bebanan hutang berlebihan yang boleh meningkatkan risiko pada masa depan. 

 

"Pada masa sama, terdapat peluang yang signifikan bagi institusi kewangan untuk mendukung pemulihan hijau daripada pandemik ini menerusi penyediaan peralihan pembiayaan yang berkait dengan amalan hijau," katanya dalam persidangan itu yang bertajuk 'Kewangan Untuk Berubah' hari ini.  

 

Nor Shamsiah menyifatkan perubahan iklim bukan sekadar isu saintifik semata-mata, sebaliknya ia melibatkan isu perniagaan dan sosial.

 

Perkara ini, katanya, tidak dapat dipisahkan daripada kewajiban asas institusi kewangan untuk mengurus risiko secara berhati-hati, bertindak dengan bertanggungjawab terhadap pelanggan mereka dan mencipta nilai jangka panjang.

 

"Sejajar dengan pandangan ini, BNM memberi tumpuan terhadap beberapa perkara dari segi keutamaan peraturan dan penyeliaannya dalam waktu terdekat untuk mempromosikan sistem kewangan berdaya tahan terhadap iklim.

 

"Sejak lebih dua tahun lalu, BNM secara aktif menggalakkan penambahbaikan bagaimana institusi kewangan mempertimbangkan risiko iklim dalam pendekatan pengurusan risiko mereka," tambahnya.

 

Beliau berkata, bank pusat sedang meneroka pelbagai pilihan untuk mendorong pendekatan pengurusan risiko yang lebih baik oleh institusi luar termasuk melalui keperluan modal Pillar 2 dan penilaian penyeliaan untuk mencerminkan pertimbangan risiko iklim yang tidak mencukupi.

 

Jelasnya, berdasarkan penerapan prinsip dan usaha JC3 untuk mengatasi jurang data, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan BNM baru-baru ini mengesahkan rancangan empat tahun untuk mempersiapkan ujian tekanan perubahan iklim di seluruh industri di peringkat rakan niaga.

 

"Ini akan disokong oleh usaha bank untuk menunjukkan model kesan makroekonomi kejutan iklim berdasarkan senario iklim yang ditentukan.

 

"Dan kami akan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi menambah baik ketelusan di peringkat pengurusan dan pendedahan kepada risiko berkaitan perubahan iklim dalam sektor kewangan," ujar beliau.

 

Nor Shamsiah memberitahu, BNM akan memuktamadkan pelan tersebut tahun ini sebagai mandatori kepada perubahan risiko oleh institusi kewangan menerusi rundingan dengan industri kewangan. - DagangNews.com