Keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia tetap teguh | DagangNews Skip to main content

Keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia tetap teguh


KUALA LUMPUR 23 Sept. -  Walaupun seluruh dunia masih menghadapi cabaran kerana pandemik COVID-19, keyakinan dalam pasaran Malaysia tetap teguh terutamanya daripada pelabur asing berdasarkan pelaburan sebanyak RM23.1 bilion dalam pasaran bon sehingga Ogos.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ringgit juga muncul sebagai antara mata wang paling kukuh di Asia Tenggara dipacu oleh inisiatif secara berterusan daripada kerajaan dalam menangani COVID-19.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata keyakinan pelabur juga dapat dilihat melalui pelancaran Bandar Malaysia baru-baru ini, yang berpotensi membuahkan kesan pengganda kepada pelbagai sektor ekonomi negara.

"Bandar Malaysia merupakan projek pembangunan bandar tunggal terbesar di Asia Tenggara dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM140 bilion.

"Selain itu, inisiatif oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) turut menyasarkan ekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) meningkat sebanyak RM300 bilion menerusi inisiatif digariskan dalam Pelan Pembangunan Strategik (SDP) NCER 2021-2025 yang baharu dilancarkan," katanya dalam kenyataan di sini.

Ia dikeluarkan bersempena laporan ke-22 oleh Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Tengku Zafrul berkata SDP ialah rangka kerja mantap dan strategik untuk merealisasikan gabungan potensi semasa di negeri-negeri NCER, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak merangkumi projek strategik, pelaburan berimpak tinggi dan program modal insan, untuk memenuhi keperluan semasa rakyat, perniagaan serta industri, dalam usaha untuk mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Sementara itu, katanya usaha pemulihan ekonomi yang terjejas akibat penularan COVID-19 akan dipertingkatkan melalui siri libat urus Belanjawan 2021 yang telah dan sedang giat dijalankan oleh pasukan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan maklum balas dan input daripada segenap lapisan rakyat.

Maklum balas itu seterusnya akan digunakan untuk merangka Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada awal November ini, katanya.

Mengenai pakej PRIHATIN dan PENJANA, Tengku Zafrul berkata sejumlah 1.93 juta rakyat Sabah dan Sarawak telah menerima manfaat Bantuan Prihatin Nasional bernilai lebih RM2.1 bilion.

Selain itu, hampir 100,000 perniagaan di Sabah dan Sarawak termasuk perniagaan mikro, kecil dan sederhana telah menerima manfaat bernilai RM1.4 bilion melalui saluran seperti Subsidi Upah Pekerja, Geran Khas Prihatin, serta pinjaman mikro TEKUN dan BSN untuk PKS mikro. - DagangNews.com