Keyakinan terhadap sistem ekonomi berasaskan ketuhanan perlu diperhebat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 10 May 2022

Keyakinan terhadap sistem ekonomi berasaskan ketuhanan perlu diperhebat

 

 

BARU-BARU ini, penulis ada berbincang dengan seorang tokoh ekonomi berlatar belakangkan syariah dan beliau adalah perintis yang banyak berjasa kepada dunia perbankan Islam di Malaysia. 

 

Perbincangan itu berkisar berkaitan dengan masalah kurang keyakinan terhadap keupayaan sistem ekonomi berasaskan ketuhanan (Islam) untuk menangani krisis ekonomi yang kian menjadi-jadi. 

 

Menurut beliau ada 5 isu besar yang memerlukan cambahan pandangan daripada para cendekiawan dan pemikir ekonomi dengan kadar segera:

 

Pertama, Islam telah lenyap daripada radar pembangunan sejak abad ke-15 hingga awal abad ke-20. Keadaan ini menyebabkan pembuat dasar generasi kini tidak sedar kepentingan peranan Islam dalam politik, hubungan antarabangsa dan ekonomi. Mereka mendapati sukar untuk memahami konsep dan operasi sistem ekonomi berasaskan ketuhanan sepenuhnya. Kekurangan pemahaman tentang kepentingan peranan agama sebegini telah menghakis keyakinan mereka terhadap pelaksanaan sistem berasaskan ketuhanan.

 

Kedua, serangan berterusan secara fizikal dan psikologi oleh sektor-sektor tertentu yang anti-Islam terutama media barat terhadap agama Islam, dalam banyak kes telah memberi kesan negatif kepada keyakinan, persepsi dan tingkah laku masyarakat amnya terhadap agama Islam secara sosial, politik serta dari segi ekonomi.

 

Ketiga, penjajahan dan penghinaan terhadap penduduk Islam tempatan oleh beberapa negara Eropah ke atas negara Islam di Afrika Utara, Asia, Asia Tenggara, dan Timur Tengah pada abad ke-20 telah menyemai benih sekularisasi yang sangat mendalam. Kesan penjajahan dalam sistem ekonomi tanah jajahan oleh penjajah kekal kukuh hingga ke hari ini. Malah, ia turut menyaksikan semua undang-undang sivil negara jajahan di bawah undang-undang sekular barat telah berjaya dikekalkan. Keterikatan warganegara jajahan kepada agama secara beransur-ansur hilang, termasuk keyakinan terhadap agama Islam serta keupayaannya untuk menangani hal-hal sivil, termasuk ekonomi.

 

Keempat, susunan ekonomi dunia membahagikan dunia kepada negara maju, negara membangun dan negara kurang maju secara psikologi telah memudaratkan penduduk dunia, khususnya, selepas Perjanjian Briton Wood yang ditandatangani oleh 29 negara pada 27 Disember 1945. Hasilnya sistem ekonomi berasas ketuhanan tidak lagi dipraktik malah ia diganti kepada undang-undang sekular kecuali Iran. Bagaimanapun, Iran dilaporkan tidak berjaya menyemai keyakinan sepenuhnya dalam sistem ekonomi berasaskan ketuhanan ini apabila lain-lain negara melupuskan sistem ini.

 

Akhirnya, yang kelima, prestasi sistem ekonomi berasaskan ketuhanan hingga kini juga sangat mengecewakan. Pengenalan sistem ekonomi berasaskan ketuhanan di Pakistan, Sudan dan Afghanistan telah membawa kepada kemerosotan hubungan antarabangsa dan menyebabkan ketidakstabilan politik dalaman yang teruk. Mana-mana negara yang cuba mentranfomasikan ekonomi mereka kepada sistem ekonomi berasaskan ketuhanan, ia akan disusuli dengan sekatan ekonomi oleh beberapa negara yang dipimpin oleh Amerika Syarikat (AS).

 

Oleh itu, penulis menggesa para cendekiawan Islam dan pakar ekonomi supaya bersatu tenaga memikirkan dan membina strategi untuk memecahkan ketidakyakinan pembuat dasar dalam usaha membina kembali sistem ekonomi berasaskan ketuhanan secara berhikmah. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags