Khairy puji program kesihatan PLUS, selaras Agenda Kesihatan Nasional | DagangNews Skip to main content

Khairy puji program kesihatan PLUS, selaras Agenda Kesihatan Nasional


PETALING JAYA 3 Dis – Hari Keselamatan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) 2021 yang dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah disertai oleh lebih dari 2,260 warga PLUS.

 

Acara itu turut disaksikan oleh Datuk Azman Ismail, Pengarah Urusan PLUS serta Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, baru-baru ini, secara maya.

 

Khairy yang juga naib presiden Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-75, memuji program kesihatan yang dinamakan SayHeart PLUS, direka oleh pasukan Kesihatan, Keselamatan, Keselamatan & Alam Sekitar (HSSE) dan Sumber Manusia (HR), dengan tujuan tunggal untuk menyediakan platform yang mantap bagi memperkukuhkan budaya kesihatan dan keselamatan PLUS di kalangan 3800 pekerjanya di seluruh negara.

 

“Hari Keselamatan PLUS seiring dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang diperkenalkan pada November lalu. ANMS memberi tumpuan kepada pendekatan nasional yang menyeru penyertaan aktif rakyat, NGO dan sektor swasta, untuk bersama-sama memastikan kelestarian negara melalui pengamalan kehidupan yang sihat.

 

"Berpegang teguh kepada semangat Rakan Negara, PLUS sekali lagi menunjukkan komitmennya sebagai penggerak kepada usaha Kerajaan untuk membina semula negara pasca COVID-19.

 

‘’Tahniah kepada kepimpinan dan kakitangan PLUS kerana telah berjaya mencapai 99.8% penerima vaksinasi lengkap atau seramai 12,738 individu dari ekosistem perniagaannya termasuk rakan niaga dan vendor dalam usaha memerangi virus COVID-19 ini.

 

‘’Sokongan berterusan PLUS terhadap usaha Kerajaan untuk membina semula negara pasca-COVID harus menjadi contoh kepada semua," kata Khairy.

 

Bertemakan #isihatselamat, sambutan tahun ini menyaksikan perkongsian berwawasan daripada Datuk Azman Ismail, mengenai kesungguhan usaha dari pihak pengurusan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan berkala tahunan serta mengekalkan gaya hidup sihat, yang merangkumi bukan sahaja kesejahteraan fizikal tetapi juga kesihatan mental dan rohani.


 

PLUS
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail dan pasukan pengurusannya bersama 2 PLUSRONDA Wira Lebuhraya pada Anugerah LLM 2021.

 

Menurut beliau, PLUS juga meningkatkan keberkesanan Hari Keselamatan 2020, apabila memberi penekanan kepada kepentingan kesihatan mental sebagai satu perkara yang perlu diberikan perhatian, pesakit juga tidak wajar dipandang berlainan.

 

‘’Kakitangan PLUS disediakan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk berkongsi perasaan mereka sekiranya mereka mengalami tekanan mental, kami memahami akan kesan dari wabak ini yang telah mengganggu persekitaran kerja & rumah dengan cara yang belum pernah kita hadapi sebelum ini.

 

‘’Tahun ini kami meningkatkan kesejahteraan kakitangan kami melalui pelbagai program SayHeart PLUS, yang direka secara holistik membantu mereka mengatasi cabaran yang dihadapi hari ini," kata Azman.

 

Katanya, SayHeart PLUS menyediakan landasan kepada pekerja untuk meningkatkan kesedaran dalam menangani kesihatan mental dan fizikal serta kaedah terbaik menanganinya, serta memberi peluang untuk melibatkan diri dengan rakan sekerja dalam aktiviti sosial atau fizikal secara maya supaya anda tidak merasa bersendirian atau terpinggir.

 

"Kami bermula dengan pelancaran SayHeart PLUS pada April 2021, sebagai sebahagian daripada inisiatif dan kerjasama antara HSSE dan Sumber Manusia untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental dan kaitannya dengan produktiviti dan kesejahteraan peribadi.

 

‘’Ia memberi peluang kepada pekerja untuk mendapatkan kesedaran dan bagaimana menangani cabaran kesihatan mental dan fizikal , serta peluang untuk melibatkan diri secara maya dalam kalangan rakan sekerja untuk aktiviti fizikal dan sosial supaya mereka tidak merasa bersendirian atau terpinggir," tambah Azman.

 

Menurutnya, PLUS telah berjaya mencapai pengurangan sebanyak 21% insiden Hilang Masa Kecederaan (LTI) berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020.

 

Bukti kemajuan dan kelestarian berterusan dalam usaha keselamatan PLUS, dapat dilihat melalui pencapaian ketara dalam tempoh yang singkat di mana PLUS mencapai pengurangan LTI sebanyak 60% dari 2017 hingga 2020.

 

Hari Keselamatan PLUS diteruskan sepanjang hari dengan pelbagai aktiviti penglibatan maya yang dijalankan bersama pakar kesihatan, perubatan, kecergasan dan pemakanan sebagai tetamu jemputan.

 

Dengan maklum balas positif daripada kakitangan dan semangat baharu, PLUS berharap komitmen terhadap keselamatan ini akan memastikan peralihan yang selamat dan sihat ke arah tahun 2022.

 

Hari Keselamatan PLUS di isi dengan pelbagai aktiviti maya yang menarik serta membolehkan semua warga PLUS melibatkan diri dan mendapatkan panduan kesihatan dan kecergasan, pandangan perubatan dan pemakanan, daripada pakar terkemuka dan selebriti. – DagangNews.com