Khazanah bekerjasama dengan SK ecoplant Korea Selatan untuk pacu pertumbuhan Cenviro serantau | DagangNews Skip to main content

Khazanah bekerjasama dengan SK ecoplant Korea Selatan untuk pacu pertumbuhan Cenviro serantau

Perkongsian dengan SK ecoplant ini akan membantu memajukan lagi perniagaan Cenviro untuk mencapai tahap global . - Gambar Korea Herald

KUALA LUMPUR 20 Mei - Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) telah menjalinkan perkongsian strategik dengan SK ecoplant Co Ltd (SK ecoplant) dari Korea Selatan, bagi terus memacu pertumbuhan Cenviro Sdn Bhd (Cenviro) untuk menjadi peneraju pengurusan sisa serantau.

 

Menurut Khazanah, lanjutan daripada proses bidaan pelbagai hala yang dijalankan, SK ecoplant telah dipilih sebagai rakan kongsi pegangan saham minoriti paling tepat bagi membantu Cenviro (yang dimiliki Khazanah) untuk terus maju ke tahap pertumbuhan strategik seterusnya, sejajar dengan aspirasi pembangunan perindustrian sektor pengurusan sisa negara.

 

"Setelah muktamad kelak, perkongsian strategik itu akan menyaksikan SK ecoplant memegang 30 peratus kepentingan dalam Cenviro manakala Khazanah terus kekal sebagai pemegang saham majoriti syarikat pengurusan sisa tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ia menambah kelulusan daripada pihak pengawal selia akan didapatkan sebagai sebahagian daripada keperluan transaksi ini. 

 

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata selama lebih 30 tahun, Cenviro telah menjadi peneraju dalam sektor pengurusan sisa bersepadu di Malaysia dan perkongsian dengan SK ecoplant ini akan membantu memajukan lagi perniagaan Cenviro untuk mencapai tahap global dan meletakkannya di barisan hadapan dalam bidang pengurusan dan pemulihan sisa mampan di rantau ini.

 

“Pelan pertumbuhan Cenviro selari dengan mandat Khazanah untuk membangunkan syarikat yang berdaya saing di peringkat global yang berpaksikan kemampanan dalam portfolio kami,” ujar beliau.

 

Khazanah menjelaskan perkongsian strategik ini juga adalah selaras dengan strategi jangka panjang baharunya ke arah Memajukan Malaysia yang telah diumumkan semasa Ulasan Tahunan Khazanah pada Mac 2022.

 

Antara lain, ia akan melaksanakan beberapa inisiatif utama untuk menyampaikan hasil yang memberi kesan kepada negara, termasuk mewakili Malaysia di peringkat global untuk menggalakkan aliran pengetahuan, rangkaian serta peluang pelaburan.

 

 

Datuk Amirul Feisal Wan Zahir
       Datuk Amirul Feisal Wan Zahir

 

 

Ia juga selaras dengan strategi Khazanah untuk mencipta masa depan yang mampan yang mana ia berharap dapat memainkan peranan utama dalam membentuk peralihan yang saksama dan bertanggungjawab dalam bidang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk Korporat Malaysia.

 

Sementara itu, Cenviro kini merupakan penyedia penyelesaian pengurusan sisa pekeliling unggul di Malaysia menyediakan perkhidmatan rawatan dan pelupusan, kitar semula dan pemulihan sisa terjadual, serta menekankan aspek amalan terbaik ESG.

 

Menurut Khazanah, perkongsian yang dijalinkan ini merupakan langkah penting dalam pelan hala tuju strategik Cenviro untuk rantau ini, menggabungkan keupayaan operasi dan teknologi SK ecoplant dengan penguasaan dalam negara yang dimiliki oleh Cenviro.

 

"Khazanah dan SK ecoplant percaya bahawa perkongsian ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Cenviro sebagai platform pengurusan sisa terjadual yang unggul, membantu dalam pertumbuhannya serta mencipta nilai untuk semua pihak berkepentingan.

 

"Kemasukan pelaburan baharu ke Malaysia oleh pelabur asing yang berwibawa juga merupakan suatu lagi petanda baik atas keyakinan negara luar terhadap Malaysia," kata Khazanah.

 

 

cenviro
                                                              Pusat Kecemerlangan Cenviro 

 

 

Dalam pada itu, SK ecoplant memiliki pengalaman luas kira-kira 44 tahun dalam bidang berteraskan mesra alam termasuk pengurusan sisa bersepadu, tenaga, kejuruteraan dan pembinaan berteraskan teknologi unggul serta keupayaan pembinaan di 15 buah negara.

 

Pengalaman SK ecoplant dalam pengurusan sisa di peringkat global serta hasratnya untuk terus memacu pencapaiannya dalam bidang ESG merupakan faktor utama yang akan membantu menyokong Cenviro.

 

Bagi mencapai aspirasinya menjadi peneraju serantau dalam industri pengurusan sisa, Khazanah telah mendapatkan khidmat BNP Paribas sebagai penasihat kewangan serta Zaid Ibrahim dan Co sebagai penasihat undang-undang untuk transaksi ini. - DagangNews.com