Khazanah mahu gabungkan dana komersial, strategik dalam satu portfolio | DagangNews Skip to main content

Khazanah mahu gabungkan dana komersial, strategik dalam satu portfolio

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Julai - Khazanah Nasional Bhd. akan menyatukan dana komersial dan strategik dalam satu portfolio di samping meningkatkan kepelbagaian bagi membina kekuatan kewangan dan impak pelaburan,  demikian menurut Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir. 

 

Dalam Laporan Khazanah 2021 itu, beliau berkata, tahun lalu terus merupakan tempoh yang mencabar kerana dunia masih terumbang-ambing dan melayari ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19.

 

"Negara-negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia, menggandakan proses vaksinasi untuk mempercepatkan peralihan ke fasa endemik.

 

"Berdasarkan situasi ini, Khazanah juga telah mengambil peluang untuk menetapkan semula strategi jangka panjang kami.

 

"Tujuan kami untuk menyampaikan nilai yang mampan untuk rakyat Malaysia tetap sama, tetapi kami mempunyai ketetapan strategik baharu yang menggariskan perkara yang perlu kami lakukan bagi menjayakan matlamat kami untuk Memajukan Malaysia," katanya dalam laporan berkenaan.

 

 

Amirul Feisal Wan Zahir
Amirul Feisal Wan Zahir

 

 

Nilai Aset Bersih (NAV) dana pelaburan negara itu menokok daripada RM79 bilion pada 2020 kepada RM86 bilion pada 2021, sekali gus menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun meningkat 5.8% sejak 2004 meskipun berdepan tahun yang mencabar. 

 

Keuntungan operasi yang dicatatkan lebih rendah pada RM670 juta berbanding RM2.9 bilion pada 2020 terutama kerana dana pelaburan itu terpaksa menyediakan sokongan kewangan yang besar kepada aset penerbangan dan pelancongannya yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

Namun, kedudukan kewangan Khazanah kekal kukuh apabila berjaya mengurangkan Perbelanjaan Operasi (OPEX) daripada RM490 juta pada 2020 kepada RM420 juta pada 2021.

 

Nilai Aset Boleh Direalisasi (RAV) berbanding nisbah hutang kekal sihat pada 2.8 kali walaupun hutang meningkat sedikit kepada RM48 bilion daripada RM43 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Pada 2021, dana itu membayar dividen berjumlah RM2 bilion bagi menyokong usaha kerajaan dalam menangani wabak yang melanda.

 

"Dana Komersial kami mencatatkan prestasi yang kukuh dengan Kadar Pulangan Berwajaran Masa (TWRR) NAV 19.0%, mewakili pulangan kitaran tiga tahun 7%.

 

"Dana Strategik kami pula mencatatkan NAV TWRR -11.4% kerana kami terus menyokong banyak aset yang terjejas akibat pandemik, khususnya dalam sektor penerbangan dan pelancongan," katanya.

 

 

MAS
Khazanah menyifatkan penyelesaian penstrukturan Malaysia Aviation Group sebagai pencapaian penting.

 

 

Bagaimanapun, beliau menyifatkan penyelesaian penstrukturan Malaysia Aviation Group (MAGB) tepat pada masanya dan telah mengurangkan liabiliti sebanyak RM15 bilion. 

 

"Ini merupakan pencapaian penting yang akan menjadikan syarikat penerbangan itu lebih berdaya tahan dari segi kewangan menjelang pemulihan dalam perjalanan udara," tambahnya.

 

Pada 2021, Amirul Feisal berkata, Khazanah telah mengkaji semula bagaimana ia dapat memenuhi mandat 
dengan lebih baik untuk menyampaikan nilai yang mampan untuk rakyat Malaysia, yang dilihat penting berdasarkan cabaran sosioekonomi akibat tercetusnya wabak. 

 

Jelasnya, strategi yang terhasil adalah berpaksikan pada Memajukan Malaysia, tema yang mentakrifkan strategi dana itu secara lebih komprehensif dalam menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh pemegang kepentingan utama iaitu kerajaan, sektor swasta dan komuniti.

 

"Pertama, kami menyasarkan untuk memacu dan memangkin bidang pertumbuhan baharu untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya tahan dan berdaya saing melalui Dana Impak, dengan komitmen RM6 bilion untuk sektor pemangkin. 

 

"Kedua, kami akan mengukuhkan peranan kami sebagai peserta korporat yang aktif. Ini adalah penting dalam usaha untuk terus membangunkan aset kami berikutan tekanan atas keuntungan operasi selama dua tahun berturut-turut," katanya.

 

 

khazanah
Amirul Feisal bersama Lembaga Pengarah dan kakitangan Khazanah di Hari Terbuka GLC 2022.

 

 

Beliau juga memberitahu, Khazanah akan terus memacu pertumbuhan ekonomi yang teguh, mengenal pasti dan memberi tumpuan kepada bidang pertumbuhan utama, dan memastikan daya saing global syarikat pelaburan.

 

Sementara itu, tumpuan yang ketiga, katanya, Khazanah akan terus menjadi pelabur global untuk mengembangkan portfolio di sampung mencari peluang untuk memudahkan aliran pengetahuan, rangkaian dan peluang pelaburan ke Malaysia. 

 

"Keempat, membangunkan usaha kami sejak 2006, untuk terus komited membina kapasiti dan komuniti berdaya yang bertujuan untuk meningkatkan penciptaan nilai kemasyarakatan yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia," tambahnya. 

 

Menurut beliau, Khazanah pada tahun lalu turut membangunkan strategi kemampanan yang lebih holistik termasuk mewujudkan Prinsip Panduan bagi pelaksanaannya.

 

"Kami juga telah menjalankan penilaian materialiti alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) atas portfolio kami, mengenal pasti bidang material yang berkaitan dengan Khazanah dan pihak berkepentingan. 

 


"Secara keseluruhan, ini merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk melaksanakan peralihan yang bertanggungjawab ke arah masa depan yang mampan," katanya. - DagangNews.com