Skip to main content

Khazanah suntik RM3.6 bilion dalam Malaysia Airlines

 

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Khazanah Nasional Berhad akan menyuntik sebanyak RM3.6 bilion sebagai modal baharu dalam Malaysia Aviation Group Bhd. (MAG) bagi membiayai perniagaan kumpulan sehingga 2025. 

 

Komitmen ini dinyatakan pemegang saham tunggal Malaysia Airlines Bhd. selepas Mahkamah Tinggi United Kingdom (UK) memberi lampu hijau bagi pelan penstrukturan hutang RM16 bilion, dengan perjanjian itu dijangka selesai awal bulan ini, menurut kenyataan MAG lewat petang semalam.

 

Pada November lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Khazanah sudah menyuntik sebanyak RM28 bilion bagi membantu syarikat penerbangan itu setakat ini.  

 

MAG memaklumkan Mahkamah Mahkamah Tinggi UK telah meluluskan Skim Pengaturan di bawah Bahagian 26 Akta Syarikat UK 2006 membabitkan entiti penyewaan MAG, MAB Leasing Ltd dan sebahagian besar pemberi pajak pengendali pesawat MAG pada 22 Februari 2021.

 

"Skim ini mendapat sokongan sebulat suara daripada pemajak yang berkaitan dan mewakili komponen penting dalam penyusunan semula MAG yang akan mencapai pengurangan liabiliti MAG melebihi RM15 bilion," katanya. 

 

Menurut MAG, langkah penstrukturan semula kewangan ini yang dijangka lengkap awal Mac ini melibatkan semua pihak berkepentingan utama MAG. 

 

Sebagai tambahan kepada skim ini, katanya, ia akan menyaksikan syarikat penerbangan berjaya memeterai perjanjian bilateral dengan pemajak kewangan, pemberi pajak enjin ganti, penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pemberi pinjaman korporat dan entiti berkaitan kerajaan Malaysia.

 

"Kini setelah skim ini diluluskan secara formal oleh mahkamah UK, syarikat penerbangan boleh terus melaksanakan pelan penstrukturannya dengan sokongan Khazanah dan pihak berkepentingan sedia ada," katanya lagi.

 

MAG telah mengambil beberapa langkah bagi menangani krisis COVID-19 menerusi pengurangan rangkaian, struktur penjimatan kos, pemuliharaan tunai dan inisiatif penangguhan bayaran. 

 

"Kesemua ini membabitkan jumlah sebanyak RM5.5 bilion pada tahun lalu dan menyasarkan pengurangan lagi RM397 bilion pada suku pertama 2021," katanya. 

 

Dalam pada itu, pemberi pajak beroperasi menyokong syarikat penerbangan ini dengan menetapkan semula kadar pajakan mengikut kadar pasaran dan penangguhan yang mana penangguhan akan dilaksanakan dengan pemajak kewangan dan lain-lain. 

 

Penghentian kemudahan juga dipersetujui pemberi pinjaman kemudahan kredit (RCF) dan rakan niaga lindung nilai manakala entiti berkaitan kerajaan telah bersetuju dalam pelbagai konsesi bagi membolehkan permodalan semula Malaysia Airlines.  

 

Menurut MAG, pihaknya akan terus berhubung dengan pembuat dasar bagi memastikan pulangan pelaburan yang positif bagi semua pemain industri penerbangan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Izham Ismail berkata, misi jangka panjang MAG ialah meletakkan kedudukannya dalam kumpulan peneraju perjalanan global. 

 

"Ini menandakan perubahan paradigma dalam cara kita mengutamakan segmen perniagaan dan anak syarikat yang berbeza dalam portfolio kumpulan.

 

"Kami akan terus berusaha untuk memperluaskan penglibatan MAG dalam pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan perjalanan, di luar segmen penerbangan yang akan membantu pelanggan-pelanggan kami dan melengkapkan perjalanan mereka," katanya dalam kenyataan berkenaan. - DagangNews.com