Kilang sarung tangan GIIB di Nilai mula beroperasi | DagangNews Skip to main content

Kilang sarung tangan GIIB di Nilai mula beroperasi

Kilang GIIB Healthcare Products di Taman Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR 17 Mei - GIIB Holdings Bhd (GIIB), melalui anak syarikat 51 peratus miliknya, GIIB Healthcare Products Sdn Bhd akan memulakan operasi pembuatan sarung tangan lateks di kilangnya di Nilai, Negeri Sembilan.

 

Dalam satu kenyataan, GIIB berkata kilang itu mempunyai lima barisan mesin celup sarung tangan dengan kapasiti pengeluaran 1.05 bilion keping sarung tangan setahun yang boleh ditukar ganti untuk menghasilkan sarung tangan lateks atau nitril.

 

Ketua Pegawai Eksekutif/Pengerusi Eksekutif GIIB, Tai Boon Wee berkata pelancaran kilang itu hari ini menandakan kejayaan kumpulan itu dalam pembuatan sarung tangan.

 

"Kami telah mendapat pesanan jualan yang kukuh untuk tahun ini, mempamerkan kualiti produk kami dan menjangkakan perniagaan sarung tangan itu akan mula menyumbang kepada keuntungan bagi tahun kewangan kami yang berakhir pada 30 Jun, 2023," kata Tai.

 

Beliau berkata menghasilkan pada kapasiti penuh dan purata harga jualan semasa kira-kira RM90 bagi setiap 1,000 sarung tangan lateks, dijangkakan sumbangan hasil daripada loji ini boleh mencecah kira-kira RM94 juta setahun.

 

Sebagai perbandingan, kumpulan itu melaporkan hasil sebanyak RM36.6 juta untuk tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember, 2021.

 

"Kami menjangkakan eksport sarung tangan getah kekal kukuh dengan pertumbuhan dua angka di peringkat serantau.

 

"Secara keseluruhan, kami percaya permintaan untuk sarung tangan akan kekal kukuh berikutan peningkatan kesedaran kesihatan yang disebabkan oleh pandemik tersebut.

 

"Kami optimis bahawa usaha ini akan menyediakan syarikat itu  dengan aliran pendapatan yang mampan dan meningkatkan keuntungan kumpulan pada masa
hadapan," kata Tai. - DagangNews.com