Kilang Silverstone di Taiping, Perak menamatkan operasi 30 Jun | DagangNews Skip to main content

Kilang Silverstone di Taiping, Perak menamatkan operasi 30 Jun

GAMBAR pekerja pada hari terakhir perkhidmatan mereka yang dimuat naik di halaman Facebook Taiping D Av@ngers, semalam.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Julai - Kilang pengeluar tayar Silverstone Malaysia Berhad (SSM) yang terletak di Kamunting, Taiping, Perak telah menghentikan operasinya pada 30 Jun 2021. 

 

Ini seperti dipaparkan hantaran status mengenai penamatan perkhidmatan pekerja di kilang tersebut yang telah dimuat naik menerusi halaman Facebook Taiping D Av@ngers, semalam.

 

HANTARAN status yang telah dimuat naik oleh salah seorang pengguna akaun di Facebook
HANTARAN status yang telah dimuat naik oleh salah seorang pengguna akaun di Facebook.

 

DagangNews.com cuba untuk menghubungi Silverstone, namun panggilan hanya dijawab oleh pihak penjaga keselamatan.

 

Syarikat induk kepada SSM, Toyo Tire Corporation mendakwa aset bersih Silverstone menyusut dengan ketara daripada RM475.60 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 kepada RM268.18 juta pada tahun fiskal 2020.

 

Ditambah faktor kerugian yang perlu ditanggung syarikat pengeluar tayar terkemuka dari Jepun itu, Toyo Tire membuat keputusan untuk membubarkan Silverstone setelah proses penamatan operasi kilang tersebut selesai.

 

Keputusan untuk menghentikan operasi kilang Silverstone telah dimaklumkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Toyo Tire, Takashi Shimizu menerusi satu kenyataan sekitar Februari lalu.

 

Baca : Toyo Tire tutup kilang Silverstone di Kamunting, Perak Jun depan

 

Keputusan itu juga dibuat setelah mengambil kira persekitaran operasi, kedudukan kilangnya dalam strategi global Toyo Tire serta kapasiti pengeluaran syarikat. 

 

Silverstone

 

Selepas ini, pengeluaran tayar jenama Silverstone akan diambil alih oleh satu lagi kilangnya yang terletak di Perak, Toyo Tire Malaysia Sdn. Bhd. (TTM).

 

Menurut Toyo Tire, prosedur pembubaran dijangka bermula pada 31 Disember 2021 mengikut undang-undang dan peraturan tempatan.

 

Sebagai rekod, Toyo Tire memegang 100% kepentingan dalam SSM.

 

Kilang Silverstone menghasilkan tayar bagi kenderaan baharu serta jenamanya sendiri untuk kegunaan pasaran terutamanya pengeluar kenderaan di Malaysia. - DagangNews.com