Kilang Unisem di Ipoh ditutup sementara sebab PKPD | DagangNews Skip to main content

Kilang Unisem di Ipoh ditutup sementara sebab PKPD

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Penyedia perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor global, Unisem (M) Berhad mengumumkan bahawa kilangnya yang terletak di Ipoh, Perak menutup operasi bermula 25 Julai hingga 8 Ogos 2021 susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 

 

Ini seiring pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 24 Julai 2021 berhubung pelaksanaan PKPD di Bandar Pulai Jaya bermula 26 Julai hingga 8 Ogos 2021.

 

“Namun, memandangkan Unisem termasuk dalam sektor perkhidmatan perlu, Elektrik dan Elektronik (E&E), syarikat telah memohon kepada pihak berkuasa untuk dibenarkan beroperasi semasa tempoh PKPD. 

 

“Kelulusan dan keputusan dari pihak berkuasa masih belum diterima,” jelas Unisem dalam maklumannya di Bursa Malaysia.

 

Sekiranya kilang itu ditutup sepanjang tempoh PKPD berkenaan, kerugian kapasiti yang perlu ditanggung Unisem dianggarkan kira-kira 2% daripada jumlah output tahunan kumpulan.

 

“Keselamatan dan kesejahteraan pekerja serta komuniti tempatan sentiasa menjadi keutamaan kami. 

 

“Kami sentiasa dan akan terus mengekalkan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 tertinggi dan paling ketat untuk meminimumkan penyebaran COVID-19,” tambah Unisem. 

 

Menurut laman web Unisem, kilang berkenaan menawarkan rangkaian perkhidmatan pembungkusan dan ujian bersepadu untuk syarikat semikonduktor seperti wafer bump, wafer probe, wafer backgrinding, pelbagai kemasan IC rangka utama dan substrat, frekuensi radio canggih dan ujian isyarat campuran, pita dan kekili serta perkhidmatan penghantaran barang. - DagangNews.com