Kini masanya bertindak tegas banteras rasuah! | DagangNews Skip to main content

Kini masanya bertindak tegas banteras rasuah!

Pengasas dan Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah (ACFE) cawangan Malaysia, Dato' Seri Akhbar Satar

 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29 Okt – Malaysia mesti bertindak tegas dan meneruskan pendekatan anti-rasuah dengan menggunakan undang-undang dan teknologi sedia ada, selain menambah baik pemetaan risiko, terutama kes berprofil tinggi, bagi membanteras rasuah dan mengurangkan ketirisan.

 

Pengasas dan Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah (ACFE) cawangan Malaysia, Dato' Seri Akhbar Satar berkata, fokus SPRM terhadap rasuah besar adalah satu langkah ke arah yang tepat dengan menggunakan kaedah Penyiasatan Berasaskan Pengurusan Pasukan (MTI), yang boleh menghasilkan Kertas Siasatan (IP) yang lebih telus dan berkualiti.

 

Menurut Transparency International (TI), pegawai berkedudukan tinggi akan menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat, yang mereka mendapat manfaat daripadanya.

 

Bank Dunia dulu menyatakan kebanyakan kes rasuah besar termasuk menggunakan syarikat tersedia (shell) yang tidak dikenali untuk memindahkan aset kewangan secara rahsia. Kemudian, institusi kewangan dan entiti lain akan membantu mereka yang terlibat mengubah hasil-hasil haram itu.

 

Oleh itu kata beliau, keutamaan hendaklah ditumpukan kepada kes-kes berprofil tinggi ini kerana jumlah wang dan orang yang terlibat adalah besar.

 

‘’Malah, SPRM mendapati 50% kes rasuah berlaku daripada ketirisan perolehan kerajaan membabitkan kakitangan awam, khususnya daripada pasukan pengurusan.

 

Antara 2013 dan 2018, salah laku melibatkan perolehan adalah sebanyak 43%, menduduki tempat teratas dalam senarai sektor cenderung kepada rasuah,’’ kata Akhbar dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Beliau mengulas kenyataan terbaharu Datuk Seri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di dalam wawancara khas beliau bersempena sambutan ulang tahun ke-54 SPRM.

 

Suruhanjaya tersebut menegaskan pendekatan penguatkuasaan undang-undang perlu diubah bagi menyesuaikan dengan masa dan fokus terhadap rasuah besar bagi mengurangkan ketirisan.

 

Akhbar  yang juga merupakan pemegang kerusi profesor di Institut Jenayah dan Kriminologi, HELP University dan bekas Presiden Transparency International Malaysia, berkata,  pendedahan ini bukan memeranjatkan kerana sektor awam mempunyai kuasa yang boleh ditukar dengan wang.

 

"Malahan, individu berprofil tinggi yang terbabit dalam rasuah besar ini adalah orang bijak dan sentiasa pandai melepaskan diri.

 

Misalnya, polis telah mengesahkan kewujudan Ben, juga dikenali sebagai Raja Penyeludup, dalang di belakang sindiket penyeluduan rokok terbesar di Malaysia, tetapi dia masih bebas. Walaupun mengawal lebih 60% industri rokok yang mengakibatkan kerajaan kehilangan RM5 bilion setiap tahun, pihak berkuasa belum bertindak ke atasnya.

 

Wujud persepsi umum bahawa pihak berkuasa menutup mata terhadap kegiatannya. Mungkin ada pegawai yang tidak beretika wujud sebagai ejen sindiket di dalam agensi penguatkuasaan undang-undang dan sudah lama makan rasuah atau diugut untuk menyorok kes,’’ ujar beliau.

 

Menurut Akhbar, semua amalan rasuah ini menjejaskan keselamatan negara, dan tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka yang terbabit dalam rasuah besar ini.

 

Bagaimanapun, penyelesaian terbaik kata beliau, ialah menggunakan Seksyen 135 Akta Kasatam 1967 di dalam Jadual Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan juga Akta Anti Penggubahan Wang Haram 2001 (AMLA).

 

Langkah-langkah ini membolehkan agensi penguatkuasaan seperti polis untuk merampas dan membekukan aset dan menangkap sindiket penyeludupan di bawah kumpulan jenayah terancang, seperti yang dilihat di dalam Ops Benteng di Johor.

 

"Tindakan SPRM adalah tepat untuk memasukkan peruntukan baharu mengenai tanggungjawab untuk mendedahkan pemilikan sebenar di dalam Akta SPRM 2009 (Akta 694).

 

‘’Kewajipan mendaftar untuk pemilikan sebenar (UBO) syarikat berdaftar di Malaysia hendaklah diperkenalkan bagi menambah baik iklim pelaburan, memudahkan lagi menjalankan perniagaan dan meningkatkan ketelurusan, seterusnya melonjakkan ekonomi negara,’’ katanya.

 

Akhbar berkata, penyelesaian-penyelesaian lain bagi menangani rasuah termasuk penggunaan teknologi, alat terhebat manusia ini untuk mencegah dan membanteras rasuah, untuk menambah baik kecekapan dan keberkesanan pentadbiran awam, memperkasa pegawai dan agensi penyiasat serta perundangan untuk menegakkan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih.’

 

"Wujud juga keperluan untuk memperkenalkan dasar-dasar pintar yang boleh menghalang keinginan atau ketamakan terhadap amalan rasuah bagi mengurangkan ketirisan.

 

‘’Kes contoh terbaik ialah menutup jurang harga antara rokok sah dengan rokok seludup yang akan menyingkirkan keuntungan besar penyeludup yang mereka gunakan untuk merasuah orang,’’ kata Akhbar. – DagangNews.com