KiplePay Pacu Agenda Digital Perak menerusi ciri baru E-Mall | DagangNews Skip to main content

KiplePay Pacu Agenda Digital Perak menerusi ciri baru E-Mall

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

SHAH ALAM 2 April - KiplePay, pakar teknologi kewangan Malaysia di bawah syarikat teknologi global Green Packet Berhad hari ini memperkenalkan ciri digital baharu, E-Mall, ke platform e-dagang mereka yang menawarkan kemudahan buat para peniaga di Perak untuk memohon permit melalui fungsi E-Mall dalam aplikasi KiplePay, sekaligus melengkapkan usaha pendigitalan peniaga.

 

Inisiatif ini adalah kesinambungan daripada jalinan kerjasama mereka bersama Digital Perak yang dimeterai pada Oktober 2020 untuk membawa digitalisasi kepada penduduk di Perak dengan ciri utamanya merupakan platform pembayaran bersepadu yang terdiri daripada KiplePay e-wallet (e-dompet KiplePay) dan KiplePay Payment Gateway (Gerbang Bayaran KiplePay) yang membolehkan pembayaran tanpa tunai dilakukan untuk transaksi di kedai serta dalam talian bagi kemudahan peniaga dan pelanggan.

 

Menerusi platform yang mesra pengguna ini, penjaja tidak perlu lagi berhadapan dengan kerumitan pendaftaran secara fizikal dan dapat menikmati kelulusan permit perniagaan dengan cepat dengan tiga langkah mudah, semuanya melalui telefon pintar mereka.

  • Cari Majlis Daerah Perak Tengah dalam fungsi E-Mall
  • Pilih jenis permit dan hantarkan maklumat yang berkenaan
  • Lakukan pembayaran dan terima resit melalui e-mel

 

KiplePay
Dari kiri, Tuan Meor Rezal Fitri bin Dato’ Dr Hj. Meor Redwan (CEO Digital Perak), YB Khairul Shahril Mohamed (Exco Perak bagi Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia) dan En Muhammad Redza Omar (Pengarah Pembangunan Perniagaan Strategik kiplePay).

 

Platform pembayaran bersepadu ini turut menyokong para peniaga di bawah program Digital Perak untuk mengakses dan melakukan pembayaran bagi pelbagai perkhidmatan melalui portal web Digital Perak. Perkhidmatan tersebut merangkumi kursus latihan, ruang kerja, makmal komputer dan pejabat melalui Hub Innovasi dan Multimedia (HiM), tempahan aset, penamatan sewaan dan pembayaran saman dengan agensi, majlis perbandaran serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) lain di Perak.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KiplePay Sdn Bhd, Tan Kay Yen berkata bahawa perniagaan di luar bandar utama di Malaysia kian menyedari akan keperluan pendigitalan dan mereka memerlukan sokongan yang bersesuaian untuk membantu dalam perjalanan digitalisasi mereka.

Kay Tan
KAY TAN

 

“KiplePay berusaha menyediakan penyelesaian digital yang berdasarkan keperluan, inovatif dan mudah untuk rakyat Malaysia, walau di mana sahaja mereka berada. Fungsi E-Mall yang diperluas ini adalah tambahan kepada penyelesaian tanpa tunai KiplePay dan merupakan batu loncatan bagi peniaga yang ingin menjadi sebahagian daripada pasaran digital. Terdapat hampir 400,000 perniagaan tempatan di Perak yang akan menerima manfaat daripada penyelesaian ini. Sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif negeri dalam menyediakan ekosistem tanpa tunai di Perak, KiplePay amat berbesar hati dapat bersama dengan perniagaan tempatan untuk memacu usaha pendigitalan mereka demi memastikan teknologi ini akan meningkatkan aksesibiliti, kemudahan dan kualiti hidup rakyat Perak.”

 

Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Tuan Meor Rezal Fitri bin Dato’ Dr Hj. Meor Redwan berkata, “Kami sentiasa mencari cara untuk menyokong perniagaan tempatan melakukan pendigitalan dan lanjutan kolaborasi bersama KiplePay ini bukan sahaja dapat membantu memudahkan malah mendedahkan mereka terhadap cara baharu dalam pemasaran serta perhubungan pelanggan. Perniagaan di Perak mempunyai banyak potensi, justeru itu dengan adanya penyelesaian baharu ini, mereka tidak hanya kekal relevan tetapi juga berdaya saing. Kami mengimpikan sebuah komuniti perniagaan yang sofistikated dan celik digital di Perak dengan memberikan platform dan peluang kepada mereka untuk memaksimumkan potensi pendapatan sebagai sebuah perniagaan.”

 

KiplePay

 

Peniaga yang berminat untuk mendaftar boleh memulakan langkah mereka dalam talian dengan memuat turun aplikasi KiplePay melalui Google Play Store atau Apple App Store dan mendaftarkan perniagaan mereka. Maklumat lanjut disediakan di laman web untuk kemudahan rujukan. - DagangNews.com