Skip to main content

Kisah benar hantu di Kedah, serupa jelmaan Nang Nak

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

“Sempena Hari Bapa 20 Jun, sila Merrepak hal berkaitan”

 

Pernyataan ringkas di dalam WhatsApp pagi ini. Dari pemegang saham. Saya balas, ini semua cliche komersial semata-mata.  Hari yang kita kena berbeli hadiah, berutus warkah WhatsApp, menyiar GIF, mengkicap Twitter, merimaskan Instagram dan mengharubirukan Facebook.

 

"Hari Bapa, Hari Ibu,... walhal boleh saja kita ucap benda sama pada Hari Khamis, Hari Ahad ..."

 

“Merrepak sudah berapa lama asyik ulas isu semasa. Hari ini kembalikan Merrepak kepada sifat universalnya – membebel, merapu, menyindir dan santai,” balas pemegang saham semula.

 

Bila dibelek semula tajuk-tajuk Merrepak beberapa bulan ini, memang tidaklah dinafikan. Ruangan pojok Ahad DagangNews.com kebelakangan ini sudah jarang membincangkan sesuatu isu santai, malah isu berat pun tidak disantai. Itu agaknya punca kemunculan WhatsApp of Demand pagi ini.

 

Tidak mengapalah. Hari ini kita santai santai Merrepak dengan cerita hantu. Kisah benar yang ada sisi moral mengisahkan kasih seorang suami dan bapa, sempena Hari Bapa.

 

nangnak

 

TANPA sengaja dan niat langsung, tertekan lalu ter­ton­ton sekali lagi filem seram Thailand, Nang Nak ter­bitan 1999. Ini kerana niat asal hendak dengar lagu Hang Pi Mana di YouTube. Entah macam mana boleh terbabas ke video Nang Nak pula.

 

Bermakna jumlah keseluruhannya dua setengah kali saya sudah menonton filem ini. "Setengah" kerana saya hentikannya separuh jalan bila saya tersedar menonton Nang Nak seorang diri adalah keputusan tidak waras pada tengah malam, lebih-lebih lagi dalam hujan lebat diiringi guruh yang membawa banjir kilat besar di Lembah Klang.

 

Sebenarnya, ceritera Nang Nak ini pernah saya merrepak pada 19 Jun 2011. Itulah kali terakhir saya menonton Nang Nak. Bagi penggemar genre filem seram, filem Nang Nak disifatkan sebagai pencetus revolusi genre seram. Ia menggabungkan elemen romantik yang teguh yakni tebalnya kasih seorang isteri yang bila mati, menjelma semula untuk membahagiakan suaminya yang baru kembali dari medan perang.

 

Babak paling seram ialah adegan memaparkan pun­tia­nak bertenggek di bumbung kuil hinggakan sami-sami ketakutan. Adegan ini tidak mencetuskan keinginan untuk ketawa kepada penonton kerana sudut gambar dengan muzik latar bergema dengan bunyi kesan khas, membawa penonton bagaikan sedang duduk bersama sami – ketakutan tahap mega sam­bil mendongak ke bumbung melihat puntianak mahu mener­kam.

 

nangnak

 

Di akhir babak filem ini, pengarahnya Nonzee Nimibutr ma­sih mampu menyelitkan unsur kesedihan walaupun beberapa minit sebelum itu, penonton menutup mata de­ngan tangan tiap kali hantu Nak muncul. Sami perlu memecahkan tempurung kepala Nak bagi memastikan ia tidak dikuasai roh jahatnya.

 

Setelah berjaya melemahkan hantu Nak dan sami ber­se­dia untuk menghapuskannya, tibalah babak sedih apabila Nak melahirkan rasa cinta pada suaminya Mak. Merayu-rayu. Merintih-rintih.

 

Dan inilah resipi yang membawa kepada populariti filem Nang Nak dan legenda itu sendiri, hinggakan pada 2005, versi bahasa Inggeris, Ghost of Mae Nak menyusul.

 

Filem Nang Nak adalah legenda rakyat yang popular di Thailand, disebut Mae Nak Phra Kha nong.

 

nangnak
Malah, terdapat satu kuil khusus untuk Nak di On Nut, Sukhumvit Soi 77 di daerah Suang Luang di Bangkok.

 

Itu cerita Siam. Tahukah anda terdapat versi serupa ber­laku di Kedah?

 

Kisah ini diceritakan oleh kawan baik, Yusoff Ismail mengenai penga­laman bapanya, Is­mail Omar yang dikenali orang kampung sebagai Pak Meh atau Meh Pok, semasa bertugas sebagai Sukarelawan Polis atau PVR pada 1950-an.

 

"Bapa saya cerita kisah ini masa saya kecil lagi, jadi bila saya tonton filem seram Nang Nak, terus saya teringat cerita bapa semasa arwah bertugas di Kulim, Kedah. Ini kisah benar!,” kata Yusoff.

 

PVR walaupun "sukarela" pada era sebelum dan bebe­ra­pa tahun selepas merdeka, ada yang menjawat jawatan itu secara tetap. Pak Meh menjalankan tugas seperti polis biasa, lengkap dengan balai, kuasa menangkap dan sebagainya.

 

Tugasnya membawa beliau ke segenap penjuru daerah Kulim dan pada 1950-an, ia adalah pekan kecil dengan penduduknya tinggal di kawasan berjarak jauh antara satu dengan yang lain.

 

Satu hari, Pak Meh menerima aduan daripada seorang lelaki bernama Mat (bukan nama sebenar) yang melaporkan kematian seorang lagi anaknya setelah kematian dua anaknya dua tahun berturut-turut sebelum ini.

 

Lazimnya, laporan kematian pada era pra-kemerdekaan di kampung-kampung akan diterima, dicatat dan dikeluarkan sijil pengesahan kematian, melainkan wujud elemen kesangsian yang tinggi dalam sesuatu laporan.

 

merrepak
MENARA jam di bandar Kulim dibina pada 1957 bersempena Hari Kemerdekaan.

 

Dalam kes Mat ini, Pak Meh mendapati wujud elemen tersebut. Tiga anak Mat mati setiap tahun berturut-turut. Kes itu dirujuk Pak Meh kepada OCPD Polis British yang menyokong cadangannya agar kes itu diselidik lebih lanjut. Apakah kematian mereka berkaitan wabak penyakit, binatang buas atau jenayah?

 

Pak Meh terpaksa meredah hutan untuk sampai ke rumah Mat, yang menunggu kedatangannya. Sepanjang masa di situ, isteri Mat langsung tidak kelihatan walaupun Mat mengakui dia ada di dalam. Tidak mengapa, segan atau masih sugul agaknya.

 

Pak Meh walaupun berpegang pada prinsip kepolisan dalam mengumpul fakta, terdetik rasa keanehan pada kawasan sekitar rumah Mat. Semak-samun. Tidak terurus. Pak Meh memberitahu Mat yang dia akan kembali esok untuk meneruskan siasatan.

 

Pak Meh tidak memberitahu Mat bahawa dia membawa Pak Din yang memiliki pengetahuan mengenai alam jin. Di rumah Mat, Pak Meh meminta Mat memanggil isterinya tetapi dia enggan menunjukkan diri. Pak Din memberi isyarat pada Pak Meh supaya beredar.

 

Tanpa pengetahuan Mat, Pak Din telah meninggalkan sebiji telur rebus dan limau purut di perkarangan rumah Mat. Esoknya, mereka kembali dan mendapati telur itu telah dimakan. Pak Din berkata memang ada "sesuatu" di sini. Malah, Mat memberitahu Pak Meh anak ketiganya yang mati ada kesan luka di leher.

 

Ketika mereka bertiga berbual di bawah tangga (rumah orang Melayu tradisional), tidak semena-mena kelihatan tangan dari kawasan dapur keluar dan turun memungut sudu di atas tanah.

 

Dan jarak antara aras lantai rumah dengan tanah adalah 1.524 meter (lima kaki). Kejadian itu dilihat oleh ketiga-tiga mereka. Dan bagaikan satu cahaya kesedaran, Mat tersedar bahawa orang yang disangka isterinya adalah satu jelmaan Iblis.

 

Selama ini, Mat diperdaya mata oleh Iblis yang menjelma menjadi isterinya.

 

Siasatan rapi Pak Meh mendapati isteri Mat sebenarnya sudah mati tiga tahun lalu ketika melahirkan anak, dan sejak itu Iblis menjelma sebagai isteri Mat dan menjalani kehidupan seperti biasa tetapi jika tidak kerana kematian anak, kisah ini tidak akan diketahui. - DagangNews.com

 

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Pupus oleh Dewa 19 berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.