Skip to main content

Kisah perisik Perang Dunia Kedua hulur rokok kepada pelombong

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

MENURUT satu catatan pada era sebelum Perang Dunia Kedua, sekitar 1938-1939 di satu kawasan perlombongan di Eropah, tentera British telah menghantar seorang perisik untuk mengumpul maklumat.

 

Lombong tersebut adalah lombong bijih besi yang diberitahu telah meningkatkan kapasiti pengeluaran, termasuk mengerahkan lebih ramai pekerja. Maklumat tersebut membimbangkan tentera British yang sememangnya sudah menyedari kerajaan Nazi Jerman semakin keras retoriknya.

 

Perisik tentera British itu bukan James Bond tetapi jika hendak bayangkan James Bond, tidaklah saya larang. Kita sambung semula cerita.

 

Maka perisik itu diterbangkan di tengah malam dan menggunakan payung terjun kira-kira 40 kilometer dari tapak lombong. Dia mempunyai 48 jam untuk menyusup masuk ke lombong, mendapatkan maklumat dan keluar semula.

 

Setibanya di kawasan lombong yang dikawal ketat luar biasa, perisik itu sudah mengenakan pakaian yang menyerupai pelombong. Kusam, kotor dan busuk.

 

Merrepak

 

Perisik itu menghampiri sekumpulan lima pelombong yang duduk di sebelah rimbunan bijih. Mereka sedang minum kopi. Kelihatan lesu.

 

Perisik itu duduk perlahan-lahan bersama mereka, seraya menghulurkan rokok kepada orang yang duduk paling kiri. Rokok? Pelawaannya disambut dengan senyuman dan dicapai rokok.

 

Menyedari rakan sebelah memandang, pelombong itu memandang semula kepada perisik. Diangguk kepala, mengizinkan kotak rokok itu dikongsi kepada yang lain. Beramai-ramai mereka berasap.

 

Perbualan pun tercetus. Perisik tidak tergesa-gesa menanya soalan wajib. Habis sebatang, perisik hulur lagi kotak rokok. Sekali lagi disambut girang.

 

Mereka berjanji bertemu lagi selepas shif tamat nanti. Pertemuan kedua, proses sama dilakukan oleh perisik. Hulur rokok. Girang. Bersembang.

 

merrepak

 

Kembali ke London, perisik itu mengesahkan lombong bijih besi itu telah dikerah menggandakan kapasiti pengeluaran sejak tiga bulan lalu, menggunakan tenaga manusia hampir seribu, berbanding hanya 200 sebelum itu.

 

Difahami bahawa bahan mentah itu diperlukan bagi membina kereta kebal, peluru, senjata api untuk tentera Nazi. Keputusan perlu dibuat untuk mensabotaj lombong berkenaan.

 

Ini bukan Merrepak hal perisik dan Perang Dunia Kedua, sebenarnya.

 

Ini adalah subjek sains komunikasi di mana seseorang menggunakan suatu alat bagi memulakan komunikasi. Dalam konteks cerita ini, perisik tersebut menggunakan rokok bagi memulakan perbualan.

 

Dan zaman berzaman hingga sekarang, rokok terbukti menjadi instrumen penyambung bualan yang benar-benar efektif antara orang yang tidak kenal sama sekali atau pemula kata yang melepasi sempadan atau empangan privasi dengan mudah.

 

Ini cerita sains komunikasi ya. Tidak juga sains komunikasi endorsed rokok. Marah pula pensyarah saya lepas baca artikel ini nanti.

 

merrepak

 

Matlamat saya ialah mudah. Rokok membawa kesan buruk kepada kesihatan, itu sah! Tetapi dari segi sains komunikasi, kebanyakannya bagus. Ada juga tidak bagus sebab ada orang memang rimas kepada perokok. Tetapi orang yang rimas ini, memang tidak boleh membawa watak perisik seperti cerita di atas.

 

Apa pula bezanya dengan situasi hari ini? Rokok kini masih tidak disukai golongan yang tidak merokok. Malah pengenalan e-rokok seperti alat yang membakar wap tembakau dan vape, tidak mengurangkan persepsi negatif ramai.

 

Hendak buat macam mana, sudah orang tidak suka. Vape pula membawa banyak perdebatan. Malah dapat diperhatikan antara syarikat pengeluar rokok pun seperti tidak sekata dalam soal vape. Apakah keadaan ini tambah menyulitkan kerajaan untuk menggubal perundangan atau sebaliknya, tidaklah diketahui.

 

Apa yang diketahui dalam Bajet 2021 yang diumum pada November 2020, hanya soal cukai dinyatakan. Ia tidak menyeluruh, apatah lagi ketika perdebatan vape ini benar-benar berkesan menamatkan tabiat merokok tradisional, masih berlarutan dalam kalangan pengamal perubatan.

 

merrepak

 

Satu tinjauan pendapat baru-baru ini menunjukkan sebahagian besar daripada rakyat Malaysia (80%) berkata Kerajaan harus mengambil tindakan yang lebih menyeluruh untuk mengawal selia industri vape di Malaysia.

 

Tinjauan pendapat tersebut juga menunjukkan 76% bersetuju bahawa ekonomi Malaysia akan mendapat manfaat daripada peraturan terhadap produk vape.

 

Maklumat ini dikumpulkan daripada tinjauan Malaysian Insights & Perspectives on Vape, yang merupakan tinjauan pendapat kendalian Green Zebras, sebuah syarikat penyelidikan pasaran terkemuka di Malaysia, atas permintaan Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA).  

 

Tinjauan ini membabitkan saiz sampel 1,025 dewasa Malaysia dan mencerminkan persepsi semua dewasa Malaysia di seluruh negara.

 

Presiden MVIA, Rizani Zakaria berkata, “tinjauan pendapat ini menunjukkan kebanyakan rakyat Malaysia mahukan pengawalseliaan terhadap produk vape. Laporan rasmi daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa terdapat lebih 1 juta pengguna vape di Malaysia tetapi tiada peraturan digubal untuk mengawal selia industri, menyebabkan pengguna tiada pilihan kecuali menggunakan produk yang tidak dikawal selia.”

 

“Laporan yang diterbitkan baru-baru ini oleh sebuah kumpulan industri tempatan mengesahkan bahawa industri vape mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada ekonomi Malaysia dengan keupayaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan perniagaan dan PKS sedia ada dalam industri, dan menarik pelaburan. Hakikat ini tidak boleh diabaikan dan Kerajaan mesti bertindak pantas untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia produk vape.”

 

merrepak
Rizani Zakaria

 

Tinjauan tersebut juga mendapati bahawa 87% rakyat Malaysia bersetuju bahawa cukai patut dikenakan ke atas produk vape dan 74% berpendapat hasil yang dikumpulkan daripada produk vape boleh dibelanjakan oleh Kerajaan dalam bidang-bidang penting seperti pendidikan dan ekonomi.

 

“Pelaksanaan cukai eksais ke atas produk vape sejak awal tahun ini merupakan satu langkah yang tepat ke arah mengawal selia industri. Ramai juga bersetuju bahawa cukai patut dikenakan ke atas produk vape kerana hasil yang dikumpulkan boleh dimanfaatkan dengan sewajarnya. Bagaimanapun, struktur cukai eksais semasa tidak termasuk e-cecair vape mengandungi nikotin, yang membentuk sebahagian besar daripada pasaran tempatan. Ini bermakna kutipan hasil tidak akan dimaksimumkan, dan pelaksanaan duti eksais adalah tidak berkesan.”

 

“Kerajaan harus meluaskan struktur cukai untuk merangkumi e-cecair vape mengandungi nikotin dan memperkenalkan peraturan jelas bagi produk ini. Dengan cara ini, Kerajaan boleh memaksimumkan kutipan hasil dan pada masa yang sama memastikan pengguna dapat menggunakan produk yang dikawal selia di Malaysia,” kata Rizani.

 

Tinjauan ini, yang bertujuan memahami persepsi rakyat Malaysia terhadap penggunaan vape, telah meminta pandangan penduduk tempatan tentang kesan ekonomi penggunaan vape dan juga pendapat mereka ke atas penggunaan vape sebagai kaedah mengurangkan mudarat daripada tembakau. - DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Pengarang Urusan DagangNews.com, yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Home oleh Michael Buble  berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.