Skip to main content
Kolum Dari Hikayat Kita - 9 October 2021

Kisah tersohor mengikat Nusantara

Ikatan persaudaraan dan silaturrahim antara kerajaan kuno melalui hikayat amat penting

 

 

 

Pada suatu masa dahulu 
Naga di laut, garuda di langit biru
Hikayat dibawa angin yang lalu

 

Nusantara ini kaya dengan kisah legenda dari zaman Sriwijaya, Majapahit, Sailendra, Kerajaan Kedah Tua, Melaka, Langkasuka, Patani dan banyak lagi.

 

Legenda dan kisah silam ini sebenarnya mengikat tali persahabatan, dan juga menceritakan segala persengketaan di antara kerajaan lama ini.

 

Melalui kisah sebegini, kita dapat lihat bahawa negara Nusantara ini benar benar serumpun.

 

Antara kisah paling popular di Filipina, Indonesia, Brunei dan Malaysia satu ketika dulu adalah kisah Bidasari.

 

 

bidasari
BIDASARI... dari buku Bidasari and the Djinn karya Ninot Aziz 

 

 

Kisah bermula, sebelum ujudnya kerajaan Langkasuka, mahupun empayar Srivijaya yang berpindah dari Palembang ke Kadaram ke Negeri Serendah Sekebun Bunga serta  juga kesultanan Melaka, seorang raja memerintah kerajaan lama yang diberi nama Kembayat Nagara. 

 

Raja Kembayat Negara tinggal di sebuah istana indah diperbuat daripada kayu chengal dan kayu belian yang bakal bertahan kekal selama-lamanya. Atapnya tujuh lapis. Tiangnya seribu.  Taman larangannya dihiasi pepohon pinang, kelapa dan kuini serta bunga-bungaan harum semerbak.

 

Namun pada satu hari, langit bertukar menjadi gelap-gelita di siang hari. Seekor garuda menyerang Kembayat Nagara tak semena-mena.

 

Raja dan ratu dinasihati Pak Menteri supaya melarikan diri pada waktu malam itu ke dalam hutan di sekeliling kota. Ini kerana Ratu permaisuri bakal melahirkan anak sulung yang mesti diselamatkan. Jika tentera dan inang mengikut, sudah pasti garuda dapat mengesan rombongan diraja.

 

Raja dan Ratu Kembayat Nagara meninggalkan istana besar di bawah sinar rembulan, menyusur sungai yang mengalir perlahan arah ke laut.

 

Baginda berdua sehelai sepinggang berbekalkan parang sebilah, keris di pinggang, tikar segulung dan nasi tujuh kapit mencari jalan semakin jauh meninggalkan istana melawan arus ke arah pergunungan tinggi.

 

Sampai saat dan ketikanya, Ratu tidak dapat bertahan lagi. Akhirnya sultan menjumpai satu batu yang rata dan besar di bawah pokok rendang di tepi sungai. 

 

Di sinilah Raja membentangkan tikar tergulung dan permaisuri pun baring. Selang beberapa lama, Ratu melahirkan seorang puteri yang comel, menangis sebaik saja terkena udara sejuk. Sultan terus memotong tali pusat dan menyelimutkan bayi. Tidak disangka-sangka, seekor ikan emas yang cantik muncul dalam sungai. Ia begitu jinak, sultan menangkapnya dalam tapak tangan baginda.

 

Tiba tiba, puteri berhenti menangis. Sultan terkejut, dan ikan terjatuh ke dalam sungai. Dan Puteri berteriak lagi, mencapai susu ibunya. 

 

bidasari
Hikayat Bidasari pernah difilemkan pada 1965, lakonan seniman Jins Shamsudin dan seniwati Sarimah.

 

 

Ikan itu berenang-renang berdekatan tempat baginda berehat. Akhirnya baginda mengambil sebatang buluh dan memasukkan air ke dalamnya.  Kemudian dengan mudahnya, Raja menangkap ikan emas dan meletakkannya di dalam bekas buluh.

 

Pada keesokan paginya, Ratu memandikan puteri dan memakaikan barang-barang perhiasan. Raja dan Ratu sedar mereka tidak boleh membawa puteri bersama kerana mungkin menghadapi bahaya yang lebih mudarat. Mereka tidak tahu sama sekali apakah nasib di hadapan mereka.

 

Dengan hati yang begitu berat, ratu menyusui puteri buat kali terakhir dan kemudian mereka meletakkan puteri di atas rakit bertutup yang dibuat oleh ayahanda puteri.

 

Akhirnya, baginda meletakkan buluh berisi ikan emas dan menolak rakit kecil itu mengikut laluan sungai. Ratu memandang dengan hiba. Sungai terus mengalir perlahan-lahan, dan puteri terus tertidur dibuai alunan sungai. 

 

Burung berkicauan mengiringi rakit puteri, yang tidak lama kemudian tiba di jeti di tebing sungai. Jeti kepunyaan saudagar kaya bernama Saudagar Johar.

 

Dayang di jeti sedang membasuh kain terkejut melihat rakit kecil, apatah lagi, bayi yang comel di dalamnya. Dayang tertua terus mengambil bayi dan terlihat batang buluh berisi ikan emas yang comel. “Pelik! Baik aku khabarkan pada Bonda segera.”

 

 

ninot
Ilustrasi buku Bidasari and the Djinn karya Ninot Aziz oleh Dani Warguide, Walid Muhammad dan Shimo Manaf

 

 

Isteri saudagar segera menyedari bahawa anak kecil yang sampai keperkarangan rumahnya begitu luar biasa. Ikan emas yang comel mengiringi bayi tersebut. Jika ikan dikeluarkan dari air, bayi terus tidak bermaya. Jika ikan kembali ke dalam air, bayi kecil terus bergelak ketawa.

 

Nampaknya nyawa bayi terikat kepada ikan emas. Saudagar Johar dan isteri memutuskan untuk menjaga bayi tersebut dan diberi nama Bidasari. Dan kehidupan di negeri Indraputra tidak pernah sama sekali lagi selepas dia berumur enam belas tahun. 

 

Bidasarillah gadis tercantik di negeri itu. 

 

 *** 

 

Di istana Indraputra, rajanya bernama Raja Johan dan ratunya, Lila Sari, permaisuri Indraputra begitu anggun. Menawan. Mempesona. Sebenarnya Ratu Indraputra mempelajari ilmu sihir dan sangat kuat saktinya.

 

Lila Sari amat taksub dengan kecantikan serta bengis lagi  kejam. Tidak lama kemudian, dia telah mendengar berita tentang seorang gadis muda yang cantik yang tinggal di kerajaan Indraputra dinamakan Bidasari.

 

Ratu pun membuat helah menjemput Bidasari ke istana untuk tinggal bersamanya. Setelah memujuk rayu keluarga angkat Bidasari, lama kelamaan mereka bersetuju.

 

Bidasari akhirnya mengikuti Ratu pulang ke istananya.

 

Apakah yang terjadi seterusnya? Ikuti minggu hadapan.

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

Klik di sini untuk koleksi DARI HIKAYAT KITA

 

 

 

Portfolio Tags