KLCI dibuka lebih tinggi melepasi paras 1,600 | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka lebih tinggi melepasi paras 1,600

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Para pelabur yang berterusan beralih daripada saham benefisiari COVID-19 kepada ekuiti lebih meluas telah melonjak pasaran saham Malaysia untuk dibuka lebih tinggi sehingga melepasi paras 1,600.

Setakat 9.01 pagi, KLCI mencecah 1,602.86, meningkat sebanyak 3.20 mata atau 0.20% daripada paras ditutup semalam, 1,599.66.

Menurut Rakuten Trade Research, pelabur di pasaran tempatan berterusan mengeluarkan dana mereka daripada kaunter berkaitan sarung tangan dan melabur ke dalam sektor lebih luas seperti bank-bank, perjudian dan perladangan.

Sektor perbankan dan perjudian merupakan dua kaunter saham yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19. 

Apabila perkembangan penemuan vaksin pandemik itu dilaporkan berkesan sehingga 90%, para pelabur mula beralih kepada saham-saham yang dijangka pulih semula terutamanya apabila sempadan negara-negara dibuka semula. 

Ini termasuk saham syarikat penerbangan seperti AirAsia Berhad yang menyaksikan pembelian saham  besar-besaran dalam kalangan pelabur apabila perkembangan vaksin COVID-19 diumumkan. 

“Para pekebun terutamanya akan menerima manfaat daripada harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi di mana kekal kukuh pada paras RM3,500 bagi setiap tan metrik. 

“Kami menjangkakan para pelabur mula ‘mengintai’ kaunter minyak dan gas memandangkan ramalan pemulihan diteruskan dan harga Brent kelihatannya menghampiri paras AS$45 setong,” kata Rakuten Trade.

Rakuten Trade menjangkakan KLCI bakal menembusi paras tertinggi tahun ini iaitu 1,620 tidak lama lagi. 

Lebih banyak berita positif mengenai penemuan vaksin COVID-19 telah membantu untuk melonjak Wall Street lebih tinggi dengan DJI Average meningkat sebanyak 470 mata menghampiri paras 30,000. 

Sehubungan itu, pasaran serantau dijangka mengekalkan trend menaik. 

Moderna Inc menjadi syarikat Amerika Syarikat (AS) kedua yang melaporkan hasil percubaan vaksin positif sehingga 94.5% sekali gus menyertai Pfizer/BioNTech yang pada minggu lalu mengumumkan keberkesanan vaksin COVID-19 sehingga 90%. - DagangNews.com