KLCI dibuka rendah didorong ketidaktentuan politik, kes COVID-19 | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka rendah didorong ketidaktentuan politik, kes COVID-19

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Bursa Malaysia dibuka rendah ketika Malaysia berdepan dengan ketidaktentuan politik dan kes COVID-19 yang membimbangkan. 

Semalam, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agung Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berhubung jumlah majoriti ahli Parlimen yang menyokongnya membentuk kerajaan baharu.

Setakat 9.04 pagi, KLCI menurun 4.72 mata atau 0.31%, mencecah paras 1,514.71.

Sementara itu, saham Asia cenderung menunjukkan trend menaik selepas rundingan rangsangan fiskal AS telah bermula.

Menurut Reuters, situasi itu ‘menutup’ kebimbangan pelabur terhadap data pekerjaan yang lemah serta kes COVID-19 yang terus meningkat.

Pada pasaran tenaga, harga minyak melonjak kerana penutupan pengeluaran akibat ribut di Teluk Mexico AS dan kemungkinan pemotongan bekalan dari Arab Saudi dan Norway. 

Semalam, Presiden AS, Donald Trump mendedahkan rundingan dengan Kongres telah bermula, menyasarkan bantuan fiskal setelah menghentikan rundingan tersebut pada awal minggu ini. 

Niaga hadapan S&P 500 meningkat 0.44%, niaga hadapan Australia naik 0.2% dan niaga hadapan Jepun pula melonjak 0.32%.

Bagaimanapun, mesej tidak menentu berhubung bantuan rangsangan itu akan mencetuskan situasi turun dan naik pasaran. 

“Keyakinan terhadap bantuan fiskal tambahan di AS kembali semula, tetapi tindakan berulang-alik antara pembuat dasar akan menyebabkan ketidaktentuan pasaran,” kata Ahli Ekonomi Kanan ANZ Research, Miles Workman dalam nota kajiannya.  - DagangNews.com