KLCI dibuka rendah kembali di bawah 1,600 | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka rendah kembali di bawah 1,600

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 April - Pasaran saham tempatan masih tercari-cari pemangkin yang dapat menyuntik indeks penanda aras utama supaya terus kekal melepasi paras 1,600.

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, FBM KLCI ‘tersadung’ apabila menyusut 0.78 mata daripada paras yang ditutup pada petang semalam, 1,600.59 kepada 1,599.81. 

 

Namun, selepas seminit didagangkan, indeks penanda aras itu berjaya ‘bertenggek’ semula pada paras 1,600.47.

 

Rakuten Trade Research percaya sentimen akan kekal mendatar dan menjangkakan indeks itu akan berusaha untuk melepasi paras 1,600.

 

“Di peringkat pasaran tempatan, sekiranya FBM KLCI berjaya mengekalkan kedudukan melepasi paras 1,600, ia akan menjadi sesuatu yang menarik, selepas melonjak pada saat-saat akhir semalam. 

 

“Namun, kami percaya sentimen kekal mendatar dan menjangkakan indeks itu didagangkan dalam julat 1,595 hingga 1,605, hari ini,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya. 

 

Di peringkat global, Rakuten Trade berkata, keyakinan berhati-hati kembali di Wall Street, didorong oleh dasar akomodatif Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang berterusan.

 

“Walaupun Nasdaq menurun sedikit, namun S&P 500 ditutup pada satu lagi rekod tinggi, sementara Dow Jones Industrial Average meningkat 16 mata untuk hampir mencecah 33,450. 

 

“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau akan bercampur-campur hari ini kerana tiada pemangkin membeli yang jelas,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com