KLCI dibuka tinggi seiring pasaran saham Asia | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka tinggi seiring pasaran saham Asia

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Pasaran saham Malaysia, KLCI dibuka tinggi, naik 0.07%. 

Setakat 9 pagi, KLCI naik 1.12 mata kepada 1,510.26 daripada 1509.14.

Minat pembelian saham tempatan cenderung terhadap sektor sarung tangan dan penjagaan kesihatan seperti alat pelindung diri (PPE) dan pelitup muka serta vaksin memandangkan kes COVID-19 terus meningkat.

“Oleh itu, para pelabur perlu mengambil peluang ini,” kata analisis kajian pasaran harian Rakuten Trade.

Tambah Rakuten, pasaran serantau pula menyaksikan lonjakan, didorong pasaran saham Amerika Syarikat (AS).

Pasaran saham Asia menyaksikan keuntungan sederhana seiring niaga hadapan indeks ekuiti AS, memandangkan para pelabur mempertimbangkan tanda-tanda pemulihan COVID-19 di China berbanding sesetengah negara lain. 

Menurut Bloomberg, niaga hadapan S&P 500 meningkat selepas petunjuk kenaikan pada Jumaat, manakala saham dibuka lebih tinggi di Jepun dan Korea Selatan. 

Dalam pada itu, saham di Australia merudum tetapi nilai mata wangnya melonjak selepas ahli ekonomi berpengaruh di Westpac Banking Corp menangguhkan pemotongan kadar faedah kepada November dari Oktober. 

Ekuiti gloal terus menunjukkan tanda kerugian bagi bulan pertama sejak Mac lalu. 

Keadaan itu didorong tanda-tanda pemulihan ekonomi yang perlahan dengan kadar kes COVID-19 semakin meningkat. 

Sebuah data menunjukkan keuntungan di syarikat industri China meningkat bagi empat bulan berturut-turut pada bulan Ogos. - DagangNews.com