KLCI lepasi 1,600 mata, ringgit merosot | DagangNews Skip to main content

KLCI lepasi 1,600 mata, ringgit merosot

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Mac - Pasaran tempatan mengakhiri dagangan minggu pertama Mac dengan mengukuh apabila indeks utama melepasi paras 1,600 mata didorong terutamanya oleh jangkaan terhadap pemulihan ekonomi dan harga minyak mentah yang tinggi. 

 

Indeks utama FBM KLCI ditutup pada 1,600.12 mata setelah meningkat 18.86 mata atau 1.19% dengan 7.98 bilion saham diniagakan bernilai RM5.15 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran bagaimanapun negatif apabila kaunter rugi mengatasi untung pada 617 berbanding 561 manakala 419 kaunter tidak berubah.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) semalam mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC). 

 

Ini menyaksikan saham-saham perbankan masih menjadi antara pemacu utama dalam dagangan hari ini, dengan Public Bank ditutup tinggi, naik 1.41% kepada RM18.68 sesaham manakala RHB Bank menokok 3.38% kepada RM5.50 sesaham. 

 

Saham Maybank pula ditutup 1.95% lebih tinggi kepada RM8.36 manakala Public Bank naik 2.84% kepada RM4.35 dan CIMB menokok 2.75% kepada RM4.49. 

 

Kenanga Research berkata, meskipun kadar OPR dijangka tidak berubah sepanjang tahun ini di tengah-tengah prospek pemulihan ekonomi, masih ada ruang bagi BNM untuk mengurangkan lagi kadar ini. 

 

"Keadaan ini hanya berlaku jika pertumbuhan pemulihan ekonomi masih dilihat berisiko," katanya dalam nota kajian.

 

Namun, firma itu menyifatkan prospek pemulihan dan juga peningkatan inflasi yang stabil sewajarnya menjadi alasan yang baik dengan menjangkakan BNM mengekalkan kadar tersebut. 

 

Menurutnya, peningkatan hasil perbendaharaan AS yang tinggi juga merupakan antara faktor yang mempengaruhi pendidian BNM untuk mengekalkan kadar OPR kerana ia meningkatkan risiko pelarian modal. 

 

Sementara itu, Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, pasaran tempatan terus mengukuh memandangkan pemain mengambil pendekatan berhati-hati dalam pasaran yang lebih meluas.

 

Katanya, peniaga juga dijangka memilih saham-saham yang cenderung kepada pemulihan ekonomi terutama apabila program vaksinasi bermula.

 

"Harga minyak yang semakin mengukuh juga pada masa sama terus merangsang sentimen pasaran," katanya.

 

Menurut Reuters, harga minyak mentah melonjak hari ini lebih daripada AS$1, mencecah paras tertinggi hampir 14 bulan. 

 

Keputusan yang dicapai OPEC dan sekutunya untuk tidak meningkatkan bekalan minyak pada April sehingga permintaan benar-benar kembali pulih merangsang peningkatan harga minyak mentah.

 

Niaga hadapan Brent bagi Mei meningkat sehingga paras AS$68 setong, paras tertinggi sejak 8 Januari 2020. Setakat ini, Brent meningkat 1.6% kepada AS$67.83 setong, dan menghampiri peningkatan 3% sepanjang minggu ini.

 

Bagi niaga hadapan minyak AS, West Texas Intermediate (WTI) pula, ia menokok 1.5% kepada AS$64.76 setong selepas mencecah AS$64.94 setong dalam sesi dagangan awal. 

 

Penganalisis mula menyemak semula unjuran harga minyak tahun ini dengan Goldman Sachs meningkatkan unjuran Brent kepada AS$75 setong pada suku kedua 2021 dan AS$80 setong bagi suku ketiga. 

 

Bank pelaburan, UBS Group AG turut menyemak unjuran Brent kepada AS$75 setong dan WTI pada AS$72 setong bagi separuh kedua tahun ini. 

 

Bagi pasaran kewangan, ringgit petang ini bagaimanapun merosot ditutup pada RM4.0700/0740, daripada penutupan semalam, RM4.0550/0600. 

 

HLIB Research berkata, dolar AS mengukuh ke paras tertinggi dalam tempoh 3 bulan sejajar dengan hasil perbendaharaan hasil AS yang tinggi. - DagangNews.com